Kawasan batu granit Kampar belum disahkan selamat dikunjungi

Tangkap layar video yang tular di media sosial memperlihatkan pemandangan menakjubkan dari kawasan Batu Granit Porfiritik di Gunung Bujang Melaka, Kampar. (Gambar dalam : Nolee Ashilin)
Tangkap layar video yang tular di media sosial memperlihatkan pemandangan menakjubkan dari kawasan Batu Granit Porfiritik di Gunung Bujang Melaka, Kampar. (Gambar dalam : Nolee Ashilin)
A
A
A

IPOH - Kawasan Batu Granit Porfiritik di Gunung Bujang Melaka, Kampar yang menarik perhatian umum selepas videonya tular dua minggu lalu belum lagi dibuka untuk tujuan pelancongan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, perkara itu diputuskan atas faktor keselamatan memandangkan kawasan terbabit belum disahkan selamat menerima kehadiran pelancong.

Menurutnya, tapak yang disifatkan memiliki persekitaran semula jadi dan masih terpelihara itu juga sebenarnya berada dalam kawasan milik persendirian dan kemudahan disediakan di situ adalah bagi kegunaan pemilik, bukan tujuan pelancongan.

"Apabila tempat itu telah ditularkan, ada orang cuba masuk menyebabkan pemilik terpaksa menutup kawasan itu.

"Isu utamanya adalah berkaitan keselamatan kerana sekiranya berlaku sesuatu di sana, tanggungjawab itu nanti akan jatuh kepada pemilik.

"Itu antara faktor utama mengapa orang ramai tidak dibenarkan masuk ke situ," katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian penutup program Reskill dan Upskill Kursus Asas dan Lanjutan Jurupandu@Geoguide Geopark Lembah Kinta pada Ahad.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang mengusahakan perbincangan awal bersama pemilik agar kajian dapat dilakukan di kawasan itu bagi membolehkan ia dikunjungi dalam keadaan selamat.

Katanya, dengan mengambil kira keunikan batu granit berkenaan, kawasan itu juga boleh dicadangkan untuk diangkat sebagai geotapak baharu dalam Geopark Lembah Kinta.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat tanah telahpun menghubungi pemilik tanah terbabit dan kita akan minta Perbadanan Taman Negeri bersama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) untuk lakukan riki awal.

"Ada beberapa aspek yang perlu kita lihat antaranya akses ke kawasan itu, jaminan keselamatannya dan nilai geotapak itu sendiri.

"Jadi saya nasihatkan orang ramai sabar dahulu, tunggu untuk kita buat pengumuman selepas ini sekiranya tempat itu selamat dilawati dan dikunjungi," katanya.

Video berdurasi 21 saat yang dikongsi di media sosial Facebook itu memaparkan pemandangan menakjubkan dari atas keindahan Batu Granit Porfiritik di Gunung Bujang Melaka, Kampar.

Orang ramai memberi reaksi positif atas perkongsian itu hingga tular kerana menyifatkan kawasan tersembunyi yang belum pernah diterokai.

Rata-rata mereka juga melahirkan rasa terkejut dan teruja untuk berkunjung kerana sebelum ini tidak mengetahui kewujudan tapak berkenaan.