Rundingan gagal selepas penduduk tolak tawaran pemilik tanah

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

HULU SELANGOR - Beberapa siri libat urus antara pemilik tanah dan penduduk telah diadakan bagi menyelesaikan isu pengosongan tapak kediaman Kampung Koskan Tambahan, Serendah.

Pegawai Tanah Daerah Hulu Selangor, Mohamad Hanafe Basri berkata, penduduk terlibat telah ditawarkan pakej penyelesaian oleh pihak pemilik tanah.

Menurutnya, sebahagian penduduk menerima tawaran pakej penyelesaian pemilik tanah tersebut manakala sebahagian lagi menolaknya.

"Lanjutan itu, pemilik tanah telah mendapatkan perintah mahkamah untuk pengosongan tanah milik mereka," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, satu memorandum diserahkan oleh penduduk terlibat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bagi memohon campur tangan kerajaan negeri.

Ia susulan 12 keluarga peneroka Kampung Koskan Tambahan, Serendah mendakwa bakal kehilangan tempat tinggal selepas menerima notis pengusiran, 18 April lalu.

Wakil penduduk, Maszahar Hashim, 59, mendakwa, penduduk diberi tempoh sehingga 2 Mei untuk mengosongkan kediaman mereka.

Mohamad Hanafe berkata, semakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) mendapati tapak kediaman yang dimaksudkan merupakan tanah hak milik persendirian (Lot 4465 GRN 322912) yang telah diberi milik sejak 133 tahun yang lalu (21 Jun 1890).

Katanya, pemilik asal kemudiannya telah menjual tanah tersebut kepada Panca Resmi Sdn Bhd pada 1991.

"PDTHS telah menerima permohonan tanah oleh penduduk dan siasatan di tapak mendapati struktur kediaman penduduk terletak di atas tanah hak milik Lot 4465 GRN 322912, tetapi permohonan yang dikemukakan adalah di atas rizab Sungai Serendah yang juga merupakan kawasan dataran banjir.

"Oleh itu, PDTHS tidak dapat mempertimbangkan permohonan di atas rizab sungai tersebut," katanya.

Ujar beliau, dakwaan kerajaan negeri telah memberi milik tanah rizab sungai kepada Panca Resmi Sdn Bhd adalah tidak benar.

"Tanah rizab sungai yang dimaksudkan dan tanah milik Lot 4465 GRN 322912 merupakan dua tapak yang berbeza.

"Pertikaian ini adalah melibatkan pemilik tanah dan pihak penduduk. PDTHS berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan baik," katanya.