Cerun runtuh: Kerja pembersihan perlu kebenaran pemilik tanah

Wei Kiat (kanan) bersama William Leong (empat dari kiri) meninjau kawasan cerun runtuh berkenaan dan diberikan taklimat mengenai insiden itu oleh pihak berkuasa tempatan.
Wei Kiat (kanan) bersama William Leong (empat dari kiri) meninjau kawasan cerun runtuh berkenaan dan diberikan taklimat mengenai insiden itu oleh pihak berkuasa tempatan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saluran longkang di kawasan runtuhan cerun di Rawang Perdana 5, Rawang bagi mengurangkan beban tanah hanya dapat dibersihkan dengan kebenaran pemilik tanah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat bagaimanapun berkata, jawatankuasa bencana daerah kini menutup jalan di kawasan berhampiran bagi mengelak risiko keselamatan penduduk.

“Pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan cuba untuk membersih saluran air longkang di situ, namun kita bimbang sekiranya pemilik tanah sekali lagi menunjukkan surat guaman.

“Ini memandangkan kawasan terbabit merupakan hak milik peribadi tetapi kita berharap pemilik tanah terbabit dapat memberikan kerjasama,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

 Keadaan kawasan runtuhan cerun di Rawang Perdana 5 di Rawang dikongsi Wei Kiat di laman Facebooknya
Keadaan kawasan runtuhan cerun di Rawang Perdana 5 di Rawang dikongsi Wei Kiat di laman Facebooknya

Pada Sabtu, Wei Kiat bersama Ahli Parlimen Selayang, William Leong meninjau kawasan cerun runtuh berkenaan dan diberikan taklimat mengenai insiden terbabit oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kejadian cerun runtuh itu dipercayai berpunca daripada taburan hujan tinggi pada Jumaat menyebabkan berlaku pergerakan tanah diikuti runtuhan tanah di kawasan Rawang Perdana 5.

Berikutan itu, keselamatan kira-kira 60 keluarga yang menetap di kawasan berkenaan dikhuatiri terjejas malah mereka turut mendakwa insiden sama pernah berlaku pada 2018 dan 2020.

Dalam pada itu, Wei Kiat berkata, pihaknya bercadang bertemu dengan pemilik tanah yang akan diatur pejabat daerah dan tanah bagi mencari penyelesaian berhubung perkara terbabit.

Menurutnya, pada 2020 MPS pernah dihalang oleh pemilik tanah terbabit daripada memasang kanvas di kawasan cerun dengan mendakwa pemilih tanah telah mengeluarkan surat guaman.

“Pihak berkenaan menunjukkan surat guaman dan rentetan itu, kerja baik pulih cerun jadi lebih mencabar.

“Jadi saya dan William Leong akan memanggil pemilik tanah untuk berbincang supaya dapat bertanggungjawab,” ujarnya.