Syabu, ketamin dalam pek jus minuman

Kamarul Zaman menunjukkan barang rampasan antaranya dadah dan wang tunai selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, pada Khamis.
Kamarul Zaman menunjukkan barang rampasan antaranya dadah dan wang tunai selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Taktik sindiket dadah berselindung di sebalik pek jus minuman untuk mengaburi pihak berkuasa terbongkar selepas polis melakukan dua serbuan sekitar daerah ini pada Rabu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pek-pek mengandungi dadah jenis syabu dan ketamin itu kemudian akan dijual di pusat-pusat hiburan di sekitar bandar raya ini.

Menurut beliau, kegiatan tersebut terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melakukan serbuan pada jam 2.30 hingga 5 pagi.

"Menerusi serbuan itu seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun ditahan. Hasil saringan air kencing mendapati suspek negatif daripada sebarang jenis dadah. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

"Modus operandi kegiatan pengedaran dadah ini adalah dengan menyewa apartmen mewah yang berpagar dan mempunyai pengawal keselamatan untuk dijadikan tempat penyimpanan dadah," katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di sini pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan mendapati kegiatan sudah dilakukan sejak Mei lalu dan pihaknya sedang mengesan sekiranya terdapat dalang atau individu lain terlibat.

Menurut Kamarul Zaman, menerusi tangkapan itu pihaknya merampas 3.91 kilogram (kg) serbuk ekstasi bernilai RM195,900; 153 gram (g) syabu (15,300); 276g ketamin (RM41,400); 759 biji pil Eramin 5 seberat 159g (RM11,925) dan 123 biji pil ekstasi seberat 37g (RM1,850).

Wang tunai dan pek-pek mengandungi dadah RM4,100 yang dirampas dalam dua serbuan dilakukan JSJN IPKN Johor pada Rabu.
Wang tunai dan pek-pek mengandungi dadah RM4,100 yang dirampas dalam dua serbuan dilakukan JSJN IPKN Johor pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, dadah yang dirampas itu boleh digunakan seramai 22,653 penagih sekiranya berada dalam pasaran sementara keseluruhan rampasan bernilai RM266,375.

Pihaknya turut melakukan sitaan terhadap dua kereta bernilai RM111,000, wang tunai RM4,100 dan satu loket emas dengan sitaan RM1,200 manakala keseluruhan nilai sitaan berjumlah RM116,300.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 30 Ogos untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sejak Januari hingga 24 Ogos lalu, pihak JSJN berjaya membuat tangkapan seramai 9,366 individu atas kesalahan dadah.

"Dalam tempoh yang sama JSJN berjaya membuat rampasan dadah sebanyak 2.59 tan. Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM16.62 juta. Turut disita adalah harta bernilai RM6.82 juta," katanya.