Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur jadi tumpuan hari ini

Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tumpuan tentunya masih terarah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila hari ini beliau dijangka menghadiri prosiding kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Penampilan pertama selepas dua hari menjalani hukuman di Penjara Kajang akan ditunggu-tunggu bukan hanya penyokongnya, tetapi seluruh peminat politik tanah air.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) jumlah yang sama.

Pada masa sama, intipati mesyuarat Biro Politik UMNO dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam Rabu juga akan terus berbangkit.

Ini setelah pemimpin UMNO masing-masing mengunci mulut berhubung mesyuarat yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO.

Sementara itu, ketika keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan pada Selasa masih 'panas', nasib yang menimpa Najib dilihat terus dibahaskan.

Pelbagai reaksi terus dizahirkan dan paling ketara adalah tindakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia bersama kira-kira 300 penyokong hadir ke Istana Negara pada Rabu.

Kehadiran mereka bagi menyerahkan memorandum memohon pengampunan diraja kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap Najib.

Artikel Berkaitan:

Diwakili Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz, gerakan itu juga bagi menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk campur tangan.

"Pengampunan diraja terhadap Najib perlu dilakukan oleh kerajaan dan Perdana Menteri harus memberi surat kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya pada sidang akhbar di luar Istana Negara selepas menyerahkan memorandum kepada Pegawai Perhubungan Akhbar Istana Negara, Husni Yusop.

Nampaknya isu membabitkan Najib akan terus hangat.