Cacar monyet amaran kepada golongan homoseksual

Hubungan seks sesama jenis lelaki dengan lelaki antara penyumbang utama kepada penularan cacar monyet. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
Hubungan seks sesama jenis lelaki dengan lelaki antara penyumbang utama kepada penularan cacar monyet. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A
A

PERUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan cacar monyet atau monkeypox sebagai kecemasan kesihatan global dan menggesa langkah pantas diambil mengekang penularan wabak berasal dari negara-negara Afrika itu.

Namun, sehingga kini lebih 28,000 kes telah disahkan menular di seluruh dunia dalam tempoh tiga bulan terakhir yang mencetuskan penghasilan vaksin cacar monyet dengan kadar segera.

Cacar monyet ialah kecemasan kesihatan ketujuh yang diisytiharkan oleh WHO. Wabak lain termasuk selesema babi pada 2009, Ebola (2014 dan 2019), virus Zika (2016), virus polio (2014) dan Covid-19 (2020).

Tahukah anda mengapa wabak cacar monyet semakin merebak begitu pantas walaupun ia tidak berbahaya seperti pandemik Covid-19 yang kini meragut jutaan nyawa di seluruh dunia?

Jawapan mudahnnya iaitu hubungan seks sesama jenis atau homoseksual di kalangan gay yang sehingga kini menjadi mimpi ngeri bagi golongan tersebut.

Menurut WHO, kebanyakan kes global mengenai penularan wabak ini merekodkan bahawa 99 peratus pesakit cacar monyet dikaitkan dengan lelaki yang melakukan hubungan seks sesama lelaki atau MSM.

Fakta ini diperkukuhkan dalam kajian oleh New England Journal of Medicine (NEJM) yang mendapati 98 peratus pesakit yang dijangkiti adalah gay atau lelaki biseksual manakala 95 peratus menerusi aktiviti seksual.

Selain itu, individu yang mempunyai 41 peratus virus HIV/Aids dan berumur 38 tahun ke atas berisiko dijangkiti wabak ini.

Artikel Berkaitan:

"Kajian kami mendapati sentuhan kulit semasa melakukan hubungan seks merupakan mekanisme dominan penularan cacar monyet," katanya.

Baru-baru ini, WHO sedang meneliti laporan mengatakan virus cacar monyet dikesan dalam air mani pesakit apabila saintis dilaporkan mengesan viral DNA dalam air mani beberapa pesakit cacar monyet di Itali dan Jerman.

Ia sekali gus mengukuhkan bukti bahawa hubungan seks sesama jenis lelaki dengan lelaki selain kontak dengan orang yang dijangkiti antara penyumbang utama kepada penularan cacar monyet ini.

Sehingga kini, terdapat 75 negara telah dijangkiti cacar monyet termasuk Amerika Syarikat (AS) merekodkan jangkitan paling banyak dengan 14, 594 kes diikuti Sepanyol (5,792); Brazil (3,359); United Kingdom (3,081) dan Kanada (1,112).

Negara-negara Asia Tenggara juga tidak terkecuali apabila Singapura merekodkan 15 kes, India (9), Thailand (5), Jepun (4), Taiwan (3) dan Korea Selatan (1).

Setakat ini Malaysia dan Brunei 'bersih' atau tidak merodkan sebarang kes cacar monyet bawaan warga tempatan.

AS selaku negara paling banyak penularan wabak cacar monyet telah pun menjalankan program suntikan vaksin kepada golongan berisiko terutamanya gay yang dikatakan mudah dijangkiti wabak tersebut.

Namun, sehingga kini hanya satu peratus kematian direkodkan akibat wabak bukan bawaan monyet itu.

Ketika ini, kerajaan Persekutuan AS telah melancarkan program vaksinasi dengan menyediakan 50,000 dos vaksin kepada golongan itu dan menggesa mereka menghindari aktiviti seksual sejenis 'buat sementara waktu'.

Walaupun ramai golongan gay bergegas mendapatkan dos tersebut, ia dikatakan tidak mencukupi sehingga menyebabkan mereka ini terpaksa meredah sempadan hingga ke Montreal untuk mendapatkan suntikan tersebut yang diberikan secara percuma kerajaan Kanada.

Malah, WHO menyatakan sekurang-kurangnya 10 juta dos vaksin cacar monyet diperlukan untuk melindungi golongan berisiko dan malangnya setakat ini vaksin tersebut hanya dihasilkan oleh firma Denmark Bavarian Nordic.

Namun begitu, pentadbiran Presiden Joe Biden baru-baru ini yang mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam telah mengerahkan pihak berkuasa kesihatan bertindak pantas mengekang penularannya di tengah-tengah kebimbangan pandemik peningkatan pandemik Covid-19 di negara 'Uncle Sam' itu.

Sementara itu di Malaysia, walaupun Kementerian Kesihatan mengesahkan risiko mendapat jangkitan ini adalah rendah, pihak kementeria telah mengambil langkah proaktif dengan menguar-uarkan maklumat terperinci kepada orang awam mengenai simptom wabak seperti seperti demam, lenguh, sakit otot, ruam di muka dan kaki, selaput mata, kemaluan dan dubur yang perlu mendapatkan rawatan kadar segera.

*Zulhilmi Hat ialah wartawan Meja Global Sinar Harian