NGO serah memorandum pengampunan Najib di Istana Negara

Syed Mohammad Imran menunjukkan memorandum yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu.
Syed Mohammad Imran menunjukkan memorandum yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu.

Presidennya, Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, memorandum itu adalah berkaitan pengampunan diraja terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Selain itu, kita juga menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk campur tangan dalam isu ini.

"Pengampunan diraja terhadap Najib perlu dilakukan oleh kerajaan dan Perdana Menteri harus memberi surat kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya pada sidang akhbar di luar Istana Negara selepas menyerahkan memorandum kepada Pegawai Perhubungan Akhbar Istana Negara, Husni Yusop pada Rabu.

Syed Mohammad Imran bersama 300 penyokong Najib berhimpun secara aman di hadapan Istana Negara bermula jam 2 petang tadi.

Selepas berkumpul kira-kira 15 minit, Syed Mohammad Imran bersama dua lagi ahli persatuan itu memasuki Istana Negara melalui pintu 3.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:

Syed Mohammad Imran berkata, memorandum itu juga memohon Yang di-Pertuan Agong menitahkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun serta Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengadap Seri Paduka Baginda berhubung kes konflik berkepentingan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Pada Mei lalu, SPRM mengesahkan kertas siasatan tersebut sudah diserahkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara.

SPRM dilaporkan berkata, kertas siasatan itu diserahkan pada 18 Mei lalu selepas pihaknya melengkapkan siasatan mengenai dakwaan sumber kekayaan yang tidak dijelaskan membabitkan Mohd Nazlan.

Kertas siasatan itu dibuka susulan Mohd Nazlan membuat laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.