Peneraju ESG diseru bekerjasam dengan kerajaan

Mohd Shahar - Foto Bernama
Mohd Shahar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemimpin industri, korporat, usahawan termasuk peneraju komuniti dalam bidang alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) digesa bekerjasama dengan kerajaan untuk mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG).

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, dalam Kenyataan Pra-Belanjawan 2023 kerajaan juga mengulangi komitmennya untuk mengutamakan program pembangunan berfokuskan ESG.

Katanya, kesemua keutamaan ini adalah pemboleh utama bagi Malaysia untuk beralih daripada fasa pemulihan semasa kepada reformasi jangka panjang.

"Belanjawan 2023 akan menampilkan tumpuan yang besar terhadap pembangunan holistik dan kesejahteraan yang dipermudahkan oleh peluang pendapatan yang lebih baik untuk semua.

"Ini penting bagi mencapai pembangunan yang lebih inklusif serta mampan untuk Keluarga Malaysia," kata beliau pada majlis anugerah impak SDG dan ESG Malaysia di sini pada Rabu.

Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai strategi dan langkah menerusi Belanjawan 2022 untuk terus mempercepatkan usaha ESG dalam jangka masa panjang.

Mohd Shahar berkata, antara strategi yang dimaksudkan adalah peruntukan RM20 juta kepada Yayasan MySDG, sebuah badan yang akan bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam menubuhkan dana amanah bagi pencapaian matlamat SDG di Malaysia.

Dana itu akan menjadi platform pembiayaan pelbagai penderma dengan modal daripada kerajaan untuk menyokong kejayaan SDG secara bersepadu, sistematik dan mampan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, strategi tersebut juga merangkumi usaha memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui langkah pembiayaan bersasar.

"Melalui kerjasama dengan Bank Negara Malaysia serta institusi-institusi kewangan, PKS boleh menerima masuk amalan kelestarian dan dengan pembiayaan hijau, PKS sudah boleh mula bergerak ke arah aktiviti rendah karbon," katanya. - Bernama