Ambil iktibar kes duit 'ghaib'

No Image Caption
A
A
A

HILANG RM50 dalam beg duit pun kita dah menggelupur, tambah pula apabila tengok ribuan ringgit lesap sekelip mata.

Boleh hilang sekejap akal waras tambah-tambah lagi kalau cuma itu duit yang ada untuk kegunaan semasa mahupun kecemasan.

Baru-baru ini tular kes seorang pakar perubatan yang kehilangan RM13,000 dalam akaun bank miliknya.

Kejadian awal pagi itu hanya disedari selepas tiga pemindahan wang berlaku tanpa pemilik akaun menerima sebarang kod kebenaran transaksi (TAC).

Perkongsian Dr Rafidah Abdullah di platform media sosial mendapat perhatian warganet yang rata-rata berkongsi kebimbangan, malah ada yang menceritakan pengalaman menjadi mangsa hack dan scam ini.

Perkembangan kes itu menimbulkan pelbagai persoalan antaranya mengenai tahap kawalan keselamatan bank-bank yang dipertanggungjawabkan memegang amanah menjaga duit kita.

Soal warganet, “kalau dalam bank tak selamat, bawah bantal pun tak selamat, nak simpan duit dekat mana?” menunjukkan kes sebegini menimbulkan kegusaran awam dan panik dalam kalangan pengguna.

Pakar keselamatan siber, Adlyn Adam Teoh pula berkata, penetapan favourite kepada akaun tertentu antara faktor pelanggan perbankan dalam talian berisiko untuk kehilangan duit mereka.

Artikel Berkaitan:

Penetapan favourite sememangnya membolehkan pelanggan melakukan transaksi dengan mudah, bagaimanapun sarannya, sentiasalah membersihkan akaun daripada meletakkan favourite kepada akaun-akaun yang tidak perlu.

Antara saranan lain pula, buatlah tetapan had pengeluaran pada kadar tidak terlalu tinggi.

Logiknya dalam hal ini, sekiranya akaun digodam, ia boleh mengelakkan berlaku pemindahan wang dalam jumlah yang banyak.

Kepada pihak bank, Adlyn berkata, sudah tiba masanya untuk semua bank menawarkan pengesahan dua faktor (2FA) iaitu sistem keselamatan yang memerlukan dua lapisan pengenalan oleh pengguna sebelum mengakses sesuatu.

“Kebanyakan bank hanya menetapkan kata laluan untuk pengguna mengakses akaun dalam talian dan pastinya keselamatan itu tidak mencukupi,” katanya.

Ambil contoh keselamatan di rumah, jika jeriji sahaja berkunci tapi pintu depan terbuka, sudah tentu tidak cukup selamat. Begitulah akaun bank kita.