Taufan Ma-on: Filipina tutup sekolah, pejabat kerajaan

Ma-on adalah taufan tropika keenam yang melanda negara Asia Tenggara itu tahun ini. - Gambar hiasan 123RF.
Ma-on adalah taufan tropika keenam yang melanda negara Asia Tenggara itu tahun ini. - Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

MANILA - [DIKEMAS KINI] Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos menutup sementara sekolah dan pejabat kerajaan di Metro Manila dan enam wilayah lain pada Selasa dan Rabu berikutan risiko ribut tropika Ma-on, lapor Xinhua.

Setiausaha Akhbar Rose Beatrix Cruz-Angeles berkata, penutupan itu meliputi wilayah Laguna, Rizal, Bulacan, Cavite, Zambales, dan Bataan di wilayah Luzon Tengah.

"Penutupan untuk sekolah dan pejabat swasta diserahkan kepada budi bicara ketua masing-masing," kata Angeles.

Dalam satu memorandum, Setiausaha Eksekutif, Victor Rodriguez berkata, penutupan sementara itu tidak termasuk agensi kerajaan yang terbabit dalam perkhidmatan kesihatan dan pencegahan bencana.

Menurut biro cuaca, ribut tropika Ma-on membadai wilayah Isabela utara Filipina pada kira-kira jam 10.30 pagi waktu tempatan pada Selasa, menyebabkan hujan dan angin kencang.

Ma-on membawa angin maksimum 110 kilometer (km) sejam dengan tiupan angin sehingga 185km sejam selama hampir empat jam sebelum bergerak ke utara-barat laut pada kelajuan 20km sejam.

Biro itu memberi amaran kepada orang ramai untuk kekal berwaspada memandangkan ribut boleh mencetuskan hujan lebat, banjir kilat dan tanah runtuh di utara Luzon dan kawasan lain di tanah besar.

Lebih 500 penduduk di kawasan rendah di utara Luzon telah dipindahkan.

Artikel Berkaitan:

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Ribut tropika itu dijangka bergerak ke arah barat laut dan diramal merentasi utara Luzon pada malam Selasa.

Ma-on adalah taufan tropika keenam yang melanda negara Asia Tenggara itu tahun ini. Secara purata, negara kepulauan itu mengalami 20 taufan setiap tahun.

Pada April, ribut tropika Megi melanda Filipina dan mencetuskan tanah runtuh serta banjir menyebabkan 224 orang maut dan 147 yang lain hilang. - Bernama.