Isu Kiandongo: Penduduk lega kampung bakal diwartakan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah (kanan) menerima cenderahati daripada Pengerusi Penganjur Majlis Ramah Mesra, Azleen Aim di Dewan Masyarakat Kampung Kiandongo, Tongod.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah (kanan) menerima cenderahati daripada Pengerusi Penganjur Majlis Ramah Mesra, Azleen Aim di Dewan Masyarakat Kampung Kiandongo, Tongod.
A
A
A

TONGOD - Kira-kira 800 penduduk Kampung Kiandongo di sini, menarik nafas lega apabila diberi jaminan bahawa penempatan yang mereka diami akan diwartakan sebagai perkampungan tradisi yang sah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah turut memberi jaminan bahawa tapak perkampungan terletak sejauh enam kilometer dari Pekan Tongod itu tidak akan jatuh ke tangan syarikat luar.

"Kita akan pastikan penempatan ini diwartakan sebagai sebuah perkampungan tradisi secara sah," katanya ketika merasmikan Majlis Ramah Mesra di Dewan Masyarakat Kampung Kiandongo, di sini, pada malam Ahad.

Jaminan itu diberikan kepada penduduk kampung berikutan kerisauan mereka bahawa kemungkinan penempatan yang terokai sejak lebih 10 tahun lalu menjadi milik syarikat swasta yang bercadang meluaskan tanaman ladang kelapa sawit di kawasan berkenaan.

Kampung Kiandongo meliputi kawasan kira-kira lebih 242 hektar termasuk tanah dipohon penduduk untuk pertanian, namun masih berstatus sebagai tanah simpan kerajaan kerana belum memperoleh geran.

Kata Masiung, penting ketika ini tapak perkampungan melibatkan rumah penduduk, bangunan kerajaan termasuk sekolah dan rumah ibadah itu diwartakan terlebih dahulu.

"Isu tanah Kampung Kiandongo akan saya bawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC) Daerah Tongod sebelum hujung tahun ini," katanya.

Sebelum itu, Masiung mengumumkan peruntukan sebanyak RM110,000 untuk pembaikan dewan masyarakat dan tabung untuk sembilan pertubuhan serta persatuan di kampung berkenaan.

Artikel Berkaitan: