Banyak hak dinafi, Kelantan kekal mundur

Mohd Amar - Foto Sinar Harian
Mohd Amar - Foto Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan masih mundur kerana banyak hak negeri dinafikan di atas diskriminasi politik yang berterusan.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, penafian itu bermula sejak kemenangan pertama Pas pada tahun 1959 sehingga banyak kemudahan utama dan pembangunan tanah dilaksanakan tanpa bantuan dan terpaksa membuat pinjaman.

Bagaimanapun katanya, dalam tempoh kira-kira 3 tahun kebelakangan ini ekonomi Kelantan semakin baik kerana menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat.

"Justeru, kerajaan negeri masih memerlukan sokongan rakyat untuk mempertahankan pemerintahan yang ada supaya lebih banyak limpahan infrastruktur dibangunkan di negeri ini," katanya ketika menjadi ahli panel forum pada Program Himpunan Perikatan Nasional (PN) Peringkat Negeri Kelantan Sempena Sambutan Ulang Tahun Kedua PN pada Ahad.

Turut sama dalam forum berkenaan ialah Ahli Majlis Tertinggi PN, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Sementara itu, Mohd Amar memberitahu, sokongan pengundi bukan Islam antara faktor Pas kekal memerintah Kelantan selama 32 tahun di negeri ini.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar percaya, pengundi bukan Islam tidak menyokong Pas jika hanya semata-mata mahu pembangunan fizikal dan ekonomi semata-mata.

"Mereka mahu kepimpinan yang baik dan tidak menyalahgunakan kuasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Amar berkata, rahsia kekuatan Pas di negeri ini ialah menjadikan dasar Membangun Bersama Islam sebagai sumber inspirasi dan penunjuk jalan kepada pentadbiran kerajaan.

Tambah beliau, dasar yang diperkenalkan bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada tahun 1990 itu sehingga kini menjadi faktor utama pemerintahan kerajaan negeri hampir sifar rasuah.

"Kita yakin dapat terus memerintah Kelantan jika mengekalkan dasar ini yang berpandukan al-Quran dan sunah," katanya.