KPM terima 19 aduan kes buli

Mohd Radzi bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelantar Pembelajaran Digital KPM DELIMa pada Isnin. - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Mohd Radzi bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelantar Pembelajaran Digital KPM DELIMa pada Isnin. - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan menerima sebanyak 19 aduan berkaitan kes buli melalui portal aduan yang dilancarkan baru-baru ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, jumlah itu melibatkan 16 aduan diterima daripada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) KPM dan tiga lagi daripada aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, kementerian sedang membuat penelitian sebelum mengambil tindakan sewajarnya berhubung aduan yang diterima.

"Setiap aduan kita teliti terlebih dahulu dan dapatkan maklumat lanjut untuk pastikan apa sebenarnya yang berlaku.

"Melalui e-mel setakat ini kita masih belum menerima sebarang aduan atau maklum balas, manakala menerusi talian khas aduan buli kita terima sebanyak lima panggilan yang berkaitan dengan pertanyaan, bukan aduan.

"Melalui telefon bimbit pula, terdapat dua panggilan pertanyaan dan WhatsApp ada 10 pertanyaan dan tiga aduan," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelantar Pembelajaran Digital Kementerian Pendidikan Malaysia Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) di sini pada Isnin.

Mohd Radzi menjelaskan, jumlah tersebut merupakan data terkini yang diterima KPM selepas pelancaran portal aduan buli pada 18 Ogos lalu.

Ujarnya, ibu bapa khususnya dan pemegang taruh dalam sektor pendidikan melihat portal berkenaan sebagai satu platform yang boleh digunakan bukan sahaja untuk membuat aduan tetapi juga pertanyaan dan menyalurkan maklumat.

Artikel Berkaitan:

"Yang paling penting, kita mahu setiap aduan tersebut dibuat dengan maklumat lengkap yang membolehkan kita membuat siasatan lanjut supaya proses ini menjadi lebih cekap dan berkesan," katanya.

Ditanya mengenai statistik aduan yang diterima, beliau memaklumkan tidak mempunyai data terperinci mengenai lokasi sekolah yang terlibat dengan kes buli yang dilaporkan dalam portal.

"Kita tidak menganaktirikan sama ada sekolah bandar atau luar bandar.

"Yang penting satu sistem diwujudkan dan sekiranya terdapat kes-kes berlaku yang perlu dilaporkan secara terus, kita ada laporan tersebut.

"Isu buli tidak kenal bandar, luar bandar atau negeri mana. Yang penting, sistem ini memberi impak yang optimum dan maklumat akan sampai kepada kementerian secepat mungkin dan kita akan ambil tindakan sewajarnya," katanya.