Malaysia #QuranHour beri peringatan buat hamba bersujud

Diana memberikan sokongan kepada penganjuran Malaysia #QuranHour yang akan diadakan pada 30 Ogos depan.
Diana memberikan sokongan kepada penganjuran Malaysia #QuranHour yang akan diadakan pada 30 Ogos depan.
A
A
A

SHAH ALAM - Aktivis, pengacara dan pelakon, Diana Amir berpandangan bahawa penganjuran Malaysia #QuranHour yang akan diadakan pada 30 Ogos depan, bertemakan surah al-Sajdah dapat memberi satu peringatan kepada umat Islam untuk sentiasa bersujud kepada ALLAH SWT.

Diana atau nama sebenarnya, Nurdiana Amir Hashim, 38, berkata, penganjuran itu juga sememangnya dapat memberikan satu permulaan kepada individu yang mahu mendekatkan diri kepada Maha Pencipta.

Akuinya, terdapat segelintir umat Islam terlampau cintakan dunia sehingga lupa bahawa tempat dan posisi terbaik ialah bersujud kepada ALLAH SWT.

“Kalau mereka yang sudah bersama al-Quran tentunya mereka menjadikan al-Quran ini sebagai satu amalan harian.

“Tetapi kalau mereka yang selalu melupakan, ini bermaksud ia merupakan satu peringatan dan menjadi satu permulaan untuk mereka mendekatkan diri dengan al-Quran.

“Justeru, bila kita ingat yang kita ini hanya lah hamba ALLAH, maka kita akan lebih tenang dalam menjalani kehidupan seharian kita,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Beliau merupakan hos jemputan bagi program Mom’s Coffe Talk bertajuk ‘Wanita Mahal’ yang menjadi salah satu pengisian dalam kunjungan muhibah peserta Rumah Ngaji Pulau Pinang dan Rumah Ngaji Pahang ke Yayasan Warisan Ummah Ikhas (WUIF) @Karangkraf pada Sabtu.

Seramai 30 peserta terdiri daripada Rumah Ngaji Pulau Pinang manakala 86 lagi daripada Rumah Ngaji Pahang.

Dalam perkembangan sama, Diana turut menasihati umat Islam supaya sentiasa merendahkan diri kepada ALLAH SWT.

Bahkan, beliau berharap agar umat Islam bebas daripada cengkaman dunia dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan kerana Islam adalah agama yang sempurna.

“Walaupun kita berada di zaman yang serba canggih, tetapi dari segi tamadunnya, sebenarnya tamadun Islam sewaktu zaman Nabi Muhammad SAW adalah yang paling hebat,” katanya.