PRU15: PBM rancang bertanding 14 kerusi

Zuraida
Zuraida
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Bangsa Malaysia (PBM) merancang untuk bertanding di 14 kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dengan masing-masing tujuh kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bakal Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, PBM yang merupakan parti pro-Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan kesemua kerusi sedia ada yang dimenangi ketika bertanding di bawah parti politik lain pada PRU14.

“Kami tidak meminta lebih daripada kerusi yang sedia ada. Kami akan beri tumpuan kepada kerusi terbabit.

“Kami adalah pemimpin yang berpengalaman tetapi parti ini baru. Sekarang, kami mempunyai masa yang singkat sebelum menghadapi pilihan raya, jadi kami hanya menumpukan kepada kerusi yang sudah ada.

"Jadi tujuh kerusi DUN dan tujuh kerusi parlimen," katanya menurut laporan MalayMail pada Sabtu.

Zuraida memaklumkan PBM telah memulakan kempen ke seluruh negara di tiga negeri iaitu Perak, Selangor dan Johor untuk meningkatkan sokongan pengundi di kawasan yang diwakili beberapa pemimpin parti itu iaitu tiga di Parlimen dan lima di DUN.

Antara pemimpin PBM yang mempunyai kerusi ketika ini ialah Zuraida yang merupakan Ahli Parlimen Ampang; Presiden PBM, Larry S’ng (Ahli Parlimen Julau) dan Steven Choong (Ahli Parlimen Tebrau).

Di Selangor, Timbalan Presiden PBM, Haniza Mohamed Talha merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya; Ketua Wanita PBM, Dr Daroyah Alwi (ADUN Sementa) manakala di Perak pula A Sivasubramaniam (ADUN Buntong), Leong Cheok Keng (ADUN Malim Nawar) dan Paul Yong Choo Kiong (ADUN Tronoh).

Pada PRU lalu, hanya Sivasubramaniam dan Cheok Keng bertanding atas tiket DAP manakala selebihnya bertanding di bawah Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Zuraida bagaimanapun tidak mendedahkan empat kawasan Parlimen dan dua DUN yang menjadi sasaran PBM.

Mengulas mengenai status kemasukan PBM ke dalam BN, Zuraida berkata, beliau menerima keputusan pimpinan gabungan itu yang mahu mengkaji dengan lebih terperinci berkenaan perkara tersebut.

“Saya menyokong keputusan itu kerana isu gabungan dan pilihan raya akan datang memang memerlukan perbincangan lebih mendalam supaya semua strategi dapat digabungkan dan diselaraskan. Jadi itulah niat mereka untuk memperhalusi.

"Jadi saya menunggu mereka memanggil mesyuarat untuk menggariskan apa yang perlu dibentangkan dan sebagainya," ujar beliau.