[VIDEO] Kerajaan bantu Keluarga Malaysia depani kos sara hidup, inflasi

Ismail Sabri turut meyempurnakan pelancaran Bantuan@MyKM di tapak karnival
Ismail Sabri turut meyempurnakan pelancaran Bantuan@MyKM di tapak karnival
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan tidak berpeluk tubuh sebaliknya sentiasa membantu Keluarga Malaysia dalam mendepani kos sara hidup dan inflasi serta berusaha memastikan rakyat kalis cabaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selepas diuji pandemik, dunia kini berdepan pelbagai cabaran baharu dan paling genting ialah perubahan iklim, ketegangan geopolitik dan konflik Rusia-Ukraine.

"Gabungan semua faktor adalah antara punca kepada kenaikan harga barangan sehingga mengakibatkan kos sara hidup meningkat," katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Selangor di tapak karnival di perkarangan Stadium Shah Alam pada Jumaat.

Perdana Menteri sehubungan itu berkata, pelbagai strategi jangka pendek, sederhana dan panjang dilaksanakan kerajaan yang melibatkan kerjasama semua kementerian, kerajaan negeri, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta seluruh Keluarga Malaysia.

"Hasilnya, hari ini kita dapat melihat ekonomi negara kita merupakan yang terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 8.9 peratus bagi suku kedua tahun ini," katanya.

Ismail Sabri berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Selangor
Ismail Sabri berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Selangor

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, sebanyak RM6.3 bilion peruntukan diluluskan kerajaan bagi pelaksanaan pembangunan infrastruktur dan fasiliti penyampaian perkhidmatan di Selangor di bawah Rolling Plan Kedua tahun 2022, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

Menurut Perdana Menteri, antara projek penting yang akan dilaksanakan adalah lima buah projek tebatan banjir di Selangor dengan peruntukan sebanyak RM4.7 bilion.

Beliau berkata, usaha berkenaan akan disegerakan bagi mengelak kejadian banjir teruk yang menjejaskan kesejahteraan penduduk, ekonomi negeri di Selangor dan negara berulang lagi.

"Seperti kita tahu pada penghujung tahun lepas banjir besar berlaku di Selangor seperti di Shah Alam, Hulu Langat dan sebagainya, dengan projek tebatan banjir ini kita percaya banjir besar seperti itu dapat kita elakkan," kata beliau.

Perdana Menteri berkata, kerajaan turut mengambil langkah proaktif merencana pendekatan baharu termasuk pembinaan infrastruktur yang bersesuaian dan lebih lestari serta menyeluruh di Selangor.

Beliau berkata, antaranya usaha menyediakan perumahan kepada Keluarga Malaysia, terutama kumpulan B40 dan M40, terus menjadi agenda penting kerajaan.

"Selaras dengan aspirasi Satu Keluarga Satu Rumah, sebanyak 14,329 buah rumah di negeri Selangor siap dibina sehingga bulan Jun 2022 di bawah pelbagai program perumahan seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM)," tambah beliau.