Warga emas cedera kereta rempuh kawasan perumahan

Kereta Produa Myvi yang dipandu seorang wanita warga emas Choong Siew Nyoke, 70, gagal dikawal sewaktu mengambil selekoh di Taman Permatang Pasir Permai lalu merempuh pintu pagar sebuah rumah hingga tercabut.
Kereta Produa Myvi yang dipandu seorang wanita warga emas Choong Siew Nyoke, 70, gagal dikawal sewaktu mengambil selekoh di Taman Permatang Pasir Permai lalu merempuh pintu pagar sebuah rumah hingga tercabut.
A
A
A

MELAKA - Seorang wanita warga emas cedera selepas kereta Perodua Myvi yang dipandunya terbabit kemalangan dan merempuh kawasan perumahan di Taman Permatang Pasir Permai, di sini, semalam.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, kereta yang dipandu Choong Siew Nyoke, 70, gagal dikawal sewaktu mengambil selekoh di taman perumahan terbabit lalu merempuh pintu pagar sebuah rumah hingga tercabut.

Video diambil dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kemalangan itu tular di laman sosial Facebook.

Berdasarkan rakaman video berdurasi 50 saat itu, kelihatan kereta dipandu Siew Nyoke terhuyung-hayang ketika mengambil selekoh dengan sangat laju, lalu merempuh pagar rumah jirannya.

Akibat rempuhan itu, pintu pagar rumah terbabit, terpelanting manakala kereta dipandu wanita warga emas terbabit pula menghentam dinding pagar rumah.

Ketika kejadian itu berlaku, terdapat dua kereta iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina dan Perodua Myvi milik tuan rumah diletakkan di dalam garaj berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, akibat rempuhan kuat itu, Siew Nyoke patah tangan kanan dan kini dirawat di Hospital Melaka, namun laporan polis daripada wanita terbabit belum diterima pihaknya.

"Dua lagi lagi kenderaan dalam garaj terbabit mengalami kerosakan akibat rempuhan kereta dan impak pagar yang terpelanting sebaik dirempuh," katanya ketika dihubungi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pemilik kereta Nissan Grand Livina dan sebuah lagi Perodua Myvi tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.