Nasib 4 ADUN: Pulau Pinang mohon mahkamah segerakan bicara

Dari kiri: Afif Bahardin, Khaliq Mehtab, Zolkifly Md Lazim, Zulkifli Ibrahim.
Dari kiri: Afif Bahardin, Khaliq Mehtab, Zolkifly Md Lazim, Zulkifli Ibrahim.
A
A
A

BAYAN BARU - Kerajaan Pulau Pinang telah memohon mahkamah untuk segera menetapkan tarikh bicara berhubung empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memfailkan saman pemula terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan Speaker DUN untuk menghentikan kerusi disandang tidak dikosongkan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri sedang menunggu mahkamah mengeluarkan tarikh tersebut untuk mengetahui keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang berhubung perkara tersebut.

Kon Yeow berkata, kes tersebut telah dirujuk kepada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk diputuskan, yang mana sebarang keputusan yang dibuat mahkamah akan menjadi sebahagian daripada proses mengisytiharkan kerusi yang terjejas itu untuk dikosongkan.

"Ia mengikut mana-mana yang berkenaan dengan berpandukan keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah, berperlembagaan dan hendaklah kekal seperti sedia ada.

"Oleh demikian, kita memohon mahkamah untuk menetapkan tarikh bicara dengan segera. Kita pun nak tahu apa keputusan mahkamah berhubung isu ini selepas keputusan telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Penang Signature Gold & Jewellery Fairs (PSC) 2020 di Pusat Konvensyen Setia Spice di sini pada Jumaat.

Kon Yeow (kanan) merasmikan Penang Signature Gold & Jewellery Fairs (PSC) 2020 di Pusat Konvensyen Setia Spice pada Jumaat.
Kon Yeow (kanan) merasmikan Penang Signature Gold & Jewellery Fairs (PSC) 2020 di Pusat Konvensyen Setia Spice pada Jumaat.

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang menyerahkan kepada Mahkamah Tinggi untuk memutuskan sama ada empat ADUN yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pada 2020 perlu mengosongkan kerusi mereka.

Keempat-empat wakil rakyat itu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang) telah memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.

Dua minggu lalu, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan di bawah enakmen antilompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel itu berkata, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih, selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, PSC 2022 merupakan peluang untuk para pedagang emas membina jaringan perniagaan serta menampilkan koleksi terbaru barang kemas yang ada di negeri ini.

"Sejarah barang kemas di Pulau Pinang telah wujud sejak abad ke-18, bermakna sudah lebih 100 tahun industri barang kemas berkembang di Pulau Pinang.

"Saya gembira bahawa kira-kira 80 peratus daripada eksport barang kemas Malaysia datang daripada pengilang dan pengeksport yang berpangkalan di Pulau Pinang," katanya.