AIM perlu diperkasa bukan dibubar

Mohd Anuar Mohd Tahir
Mohd Anuar Mohd Tahir
A
A
A
TEMERLOH – Langkah kerajaan membatalkan Program Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dikhuatiri akan memberi implikasi buruk dalam usaha untuk membasmi kemiskinan di negara ini terutama di kalangan Bumiputera.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, AIM yang diwujudkan dengan menggunakan model Grameen Bank Bangladesh sepatutnya diperkasakan kerana telah banyak membantu golongan itu untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

“Bagi saya AIM perlu dipertahankan, diperkasakan bukan dibubar mudah-mudah... bubar ini (AIM) akan mendatangkan implikasi buruk dalam usaha kita membasmi kemiskinan.

"Semasa zaman (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sebagai menteri kewangan lagi ia telah dilaksanakan dan memberikan peruntukan yang besar melalui Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia untuk membantu golongan miskin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pembukaan dua cawangan Parti Amanah dan penyerahan 73 borang keahlian masyarakat Orang Asli Lanchang di Kampung Sungai Enggang di sini hari ini.

Bagaimanapun, kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin dalam sidang Dewan Rakyat semalam berhubung isu itu, menjelaskan pembubaran itu berkaitan penubuhan anak-anak syarikat AIM sahaja, dan tidak operasi AIM secara keseluruhan.

Sebelum itu dalam ucapannya Mohd Anuar berkata Orang Asli bukanlah warganegara kelas kedua dan kerajaan di peringkat persekutuan dalam era Malaysia Baharu ini akan terus membela masyarakat itu supaya mereka tidak terus ketinggalan terutama dalam bidang pendidikan.

Sehubungan itu beliau berharap pembukaan dua cawangan baharu itu akan menarik lebih ramai ahli baharu di kalangan Orang Asli di Temerloh dan seluruh negara untuk menyertai parti itu sekali gus dapat membela nasib mereka. - Bernama.

Artikel Berkaitan: