Kastam Sabah rampas minuman keras bernilai RM1.1 juta

Yu Min (tengah) menunjukkan minuman keras yang cuba diseludup masuk menerusi kontena di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.
Yu Min (tengah) menunjukkan minuman keras yang cuba diseludup masuk menerusi kontena di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya mematahkan kegiatan penyeludupan minuman keras dengan merampas empat kontena berisi bahan itu dengan nilai dianggarkan sebanyak RM1.1 juta termasuk cukai.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Sabah, Cheong Yu Min berkata, rampasan minuman keras itu diperoleh selama tujuh hari membabitkan tiga kes berasingan selepas kontena berkenaan melalui proses imbasan di Pelabuhan Sepanggar.

"Kes pertama berlaku pada jam 9.45 pagi 11 Ogos lalu selepas penguat kuasa menemui imej imbasan meragukan dan penahanan dibuat terhadap sebuah kontena didapati berisi minuman keras cuba diseludup masuk ke Pelabuhan Sepanggar.

"Hasil pemeriksaan berjaya menemui sebanyak 18,236 liter minuman keras yang disyaki tidak berkastam dengan anggaran nilai harga sebanyak RM69,458.88, manakala anggaran duti dan cukai sebanyak RM284,139.95," katanya dalam sidang akhbar di Pelabuhan Sepanggar, pada Jumaat.

Katanya lagi, bagi kes kedua berlaku pada jam 9.05 pagi Selasa lalu juga penemuan terhadap minuman keras dalam dua kontena hasil yang dilihat meragukan.

"Cawangan Operasi Kota Kinabalu telah membuat penahanan dan pemeriksaan terhadap dua kontena di Pelabuhan Sepanggar selepas disyaki cuba menyeludup masuk minuman keras pelbagai jenama dengan anggaran nilai sebanyak RM145,570.37 dan anggaran duti serta cukai terlibat adalah sebanyak RM594,410.86.

"Kes ketiga pula, pada jam 11.10 pagi Rabu lalu membabitkan penahanan sebuah kontena di pelabuhan yang sama dan berdasarkan pemeriksaan menemui sebanyak 16,632 liter minuman keras dengan anggaran nilai RM63,035.28 dan anggaran duti serta cukai terlibat RM257,862.53," katanya.

Ujar Yu Min, modus operasi penyeludup bagi ketiga-tiga kes itu adalah dengan mengisytihar dagangan import sebagai barang lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 135 (a) Akta Kastam 1967.