Panahan emas Juwaidi akhiri perjuangan di Turki

Juwaidi meraih pingat emas setelah mengungguli acara individu compound di hari terakhir Sukan Perpaduan Islam Konya, Turkiye pada Khamis. Foto FB Majlis Sukan Negara.
Juwaidi meraih pingat emas setelah mengungguli acara individu compound di hari terakhir Sukan Perpaduan Islam Konya, Turkiye pada Khamis. Foto FB Majlis Sukan Negara.
A
A
A

PANAHAN emas atlet memanah negara, Mohd Juwaidi Mazuki menutup hari terakhir Sukan Perpaduan Islam Konya, Turkiye pada Khamis.

Juwaidi mengungguli acara individu compound sekali gus mengekalkan rentak cemerlangnya bersama Eugene Loh dan Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli menghadiahkan emas dalam acara trio.

Beliau juga menyumbang pingat gangsa dalam acara berpasukan campuran bergandingan bersama Nur Aina Yasmine Halim, semalam.

Kejayaan itu disifatkan sebagai penamat cukup menggembirakan buat atlet memanah kebangsaan itu apabila berjaya membawa rentak kejayaan di Sukan SEA Hanoi Vietnam ke Sukan Perpaduan Islam 2021 kali ini.

Dalam aksi final perseorangan lelaki itu, Juwaidi yang menghuni ranking ke-187 dunia menewaskan lawan dari Iran, Mohammadsaleh Palizban yang berada di ranking ke-57 dunia dengan keputusan 148-137.

Pingat gangsa milik atlet tuan rumah Haney Emircan yang menewaskan lawan senegara Uslu Egemen.

“Terima kasih kepada MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) jurulatih dan rakan seperjuangan. Saya berjaya membawa pulang emas kedua untuk Malaysia.

“Saya sangat puas hati dan bangga. Dua emas. Memang satu bonus. Saya memang sasarkan dalam acara individu untuk penamat podium dan syukur Alhamdulillah rezeki saya dapat emas.

Juwaidi (kiri) meraih pingat emas setelah mengungguli acara individu compound di hari terakhir Sukan Perpaduan Islam Konya, Turkiye pada Khamis.Foto FB Majlis Sukan Negara.
Juwaidi (kiri) meraih pingat emas setelah mengungguli acara individu compound di hari terakhir Sukan Perpaduan Islam Konya, Turkiye pada Khamis.Foto FB Majlis Sukan Negara.

“Emas dalam acara berpasukan ekstra bonus dan ia tidak dijangka. Terima kasih kepada semua pihak,” katanya.

Juwaidi menganggap kejayaan di Konya dengan dua emas dan satu gangsa itu sebagai mengejutkan kerana berjaya menumpaskan barisan pemanah berkelas dunia yang lain.

“Kejohanan di Konya memberi pengalaman berguna juga buat dua atlet muda, Eugene dan Alang bagi mengalas cabaran lebih besar pada pertandingan antarabangsa lain selepas ini,” ujarnya.

Pada aksi akhir acara trio, pasukan kebangsaan yang menduduki ranking ke-44 dunia menewaskan Indonesia yang mempertaruhkan Deki Adika Hastian, Hendika Pratama Putra dan Prima Wisnu Wardhana dengan keputusan 229-228.

Juwaidi pada Sukan SEA lalu merangkul dua emas dalam acara compound individu dan berpasukan campuran sekali gus membolehkannya dinobatkan sebagai atlet terbaik bersama Rachel Yeoh dalam acara gimnastik.