IPK pertama kerjasama dengan premis barangan lusuh

polid
polid
A
A
A

KEMAMAN - Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu muncul sebagai IPK pertama di negara ini yang menjalin kerjasama rasmi dengan premis barangan lusuh bagi membendung kes jenayah harta benda terutama melibatkan kes curi besi dan kabel.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, ia berikutan kes jenayah harta benda yang dilaporkan di negeri pada pada tiga bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding pada tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, sejumlah 366 kes jenayah harta benda direkodkan pada tiga bulan pertama tahun ini dan daripada jumlah itu 92 kes melibatkan kes curi besi dan kabel berbanding sebanyak 78 kes curi besi dan kabel direkodkan pada tahun lalu.

"Kita bekerjasama dengan peniaga barangan lusuh agar mereka tidak membeli barangan-barangan lusuh yang diragui dan disyaki barang curi kerana menerusi inisiatif ini kita akan dapat menghapuskan wujudnya permintaan bagi barang-barang itu.

"Kalau tiada permintaan, pencuri besi dan kabel tiada tempat untuk jual hasil curi mereka sekali gus kita dapat mengelakkan kes kecurian daripada berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Papan Tanda Amaran sempena Kempen Pencegahan Kes Kecurian Harta Benda/Memiliki dan Menjual Harta Benda Hasil Aktiviti Jenayah di premis barangan lusuh Kitaran Nadi Sdn Bhd di Bukit Kuang, di sini, hari ini.

Aidi bergambar bersama Nik Mohd Faizal (depan, lima kanan) selepas melancarkan Papan Tanda Amaran sempena Kempen Pencegahan Kes Kecurian Harta Benda/Memiliki dan Menjual Harta Benda Hasil Aktiviti Jenayah di Kitaran Nadi Sdn Bhd di Bukit Kuang, semalam.
Aidi bergambar bersama Nik Mohd Faizal (depan, lima kanan) selepas melancarkan Papan Tanda Amaran sempena Kempen Pencegahan Kes Kecurian Harta Benda/Memiliki dan Menjual Harta Benda Hasil Aktiviti Jenayah di Kitaran Nadi Sdn Bhd di Bukit Kuang, semalam.

Hadir sama, pemilik Kitaran Nadi Sdn Bhd, Datuk Nik Mohd Faizal Mohd Nasir; Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Terengganu, Superintendan Soffian Santong dan Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Aidi berkata, serentak dengan jalinan persefahaman yang dibentuk bersama peniaga barangan lusuh, pihak polis memasang papan tanda amaran kempen pencegahan itu secara rasmi di premis-premis barangan lusuh.

Menurut beliau, papan tanda amaran itu akan dipasang di semua premis barangan lusuh berlesen di negeri ini termasuk 15 daripadanya di Kemaman.

"Kesemua peniaga barangan lusuh berlesen itu telah menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan pihak polis bagi menjalankan kempen ini.

"Mereka akan maklumkan kepada kita jika terdapat barangan yang diragui hendak dijual dan kita akan buat semakan sama ada penjual berkenaan benar-benar pemilik barang itu atau tidak," katanya.

Tambah Aidi, pihaknya juga akan meneruskan risikan untuk mengenalpasti bekas banduan dan penagih dadah yang pernah melakukan jenayah harta benda untuk memastikan jenayah itu tidak diulangi lagi.

Jelasnya, kes jenayah harta benda terutama kecurian kabel bukan sahaja memberi kerugian besar tetapi menyusahkan masyarakat kerana ia akan mengakibatkan berlakunya gangguan talian telefon, gangguan elektrik dan sebagainya.