Belum ada keperluan bina LRT di Ipoh

Saarani (tengah) bersama barisan atlet kelahiran Perak sempena Penyampaian Insentif Kecemerlangan Akademik dan Sukan Atlet Negeri Perak di Dewan Serbaguna di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.
Saarani (tengah) bersama barisan atlet kelahiran Perak sempena Penyampaian Insentif Kecemerlangan Akademik dan Sukan Atlet Negeri Perak di Dewan Serbaguna di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Cadangan mewujudkan sistem pengangkutan Transit Aliran Ringan (LRT) di Bandaraya Ipoh akan dilaksanakan menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) sekiranya projek itu dibangunkan kelak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai kemampuan untuk membiayai pelaksanaan projek berkenaan yang pastinya memerlukan kos tinggi.

"Kerajaan negeri tiada kemampuan hendak bina LRT, kena ada kerjasama dengan pihak swasta secara PFI.

"Tetapi kajian perlu dilakukan terlebih dahulu, adakah pelaburan dibuat itu berbaloi," katanya kepada pemberita dalam program Amanat Cikgu Saarani Wacana Perak Sejahtera 2030 serta Penyampaian Insentif Kecemerlangan Akademik dan Sukan Atlet Negeri Perak di Dewan Serbaguna di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar tempatan menerusi satu ruangan keluhan pembaca yang mempersoalkan perancangan kewangan kerajaan dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi pelan pembinaan LRT yang menelan kos sebanyak RM14.5 bilion.

Saarani berkata, kajian mengenai projek tersebut perlu dilakukan secara terperinci terutama daripada aspek keperluannya kepada penduduk.

Apatah lagi katanya, projek itu akan melibatkan pelaburan yang besar selain pembinaan jajaran di kawasan penduduk di sekitar bandar raya berkenaan.

"Projek (LRT) itu bukan hendak dilaksanakan sekarang kerana kita perlu mengkaji dari segi keperluan (pembinaan LRT), tidak seperti di Kuala Lumpur yang berdepan aliran trafik dan bilangan kenderaan sangat tinggi, tempat meletak kereta pun sukar di sana, jadi sebab itu Kuala Lumpur perlukan LRT.

"Berbeza di Ipoh, saya melihat aliran trafik tidak begitu tinggi, tempat meletak kereta pun tidak menjadi masalah.

"Jika untuk jangka masa panjang, kemungkinan besar LRT ini diperlukan di sini, tetapi perlu kajian terlebih dahulu," katanya.

November lalu, Draf Rancangan Tempatan Bandar Raya Ipoh 2035 (Penggantian) yang dikeluarkan MBI dalam laman webnya memaklumkan sebanyak 28 stesen LRT dicadang dibangunkan di bandar raya ini dengan jumlah jarak keseluruhan 58 kilometer.

Cadangan projek mewujudkan perkhidmatan LRT itu melibatkan dua laluan dengan masing-masing 16 stesen, menghubungkan antara bandar-bandar utama dalam kawasan Ipoh.