Sebahagian isu utama perjanjian nuklear Iran selesai: AS

AS mendedahkan banyak perkara penting untuk mendapatkan Washington dan Iran kembali mematuhi perjanjian nuklear 2015 telah dipersetujui secara umum. Foto AFP.
AS mendedahkan banyak perkara penting untuk mendapatkan Washington dan Iran kembali mematuhi perjanjian nuklear 2015 telah dipersetujui secara umum. Foto AFP.
A
A
A
WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) pada Selasa mendedahkan banyak perkara paling mendesak dan penting untuk mendapatkan Washington dan Iran kembali mematuhi perjanjian nuklear 2015 telah dipersetujui secara umum, lapor Agensi Anadolu.

"Isu-isu besar telah sebahagian besarnya diselesaikan. Ia termasuk menamatkan sekatan yang dikenakan AS ke atas Iran di bawah Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) dan sekatan yang Iran perlu terima dalam program nuklearnya.

"Apa yang boleh dirunding telah dirundingkan," kata jurucakap Jabatan Negara Ned Price kepada pemberita.

Rundingan tidak langsung antara Iran dan AS, dengan Kesatuan Eropah (EU) sebagai perantara, berakhir di Vienna awal bulan ini dengan mencapai draf perjanjian.

Iran mengemukakan responsnya kepada teks draf EU yang bertujuan untuk menyelamatkan perjanjian itu, yang sedang diteliti oleh blok itu.

Price berkata, AS telah menerima maklum balas Iran mengenai teks draf ketua dasar luar EU, Josep Borrell dan meneruskan rundingan bersama EU dan negara-negara Eropah untuk langkah seterusnya.

"Kami bersetuju dengan perkara asas Borrell. Kami akan terus meneliti perkara yang telah dikemukakan. Kami akan terus berunding rapat dengan EU dan sekutu Eropah kami, rakan kongsi lain, dan akan berkongsi lagi jika ada perkara lain mengenainya,” kata Price.

Terdahulu, bekas Presiden Donald Trump menarik keluar AS daripada JCPOA pada 2018 dan meneruskan 'kempen tekanan maksimum' untuk membawa Tehran kembali ke meja rundingan bagi merangka perjanjian yang lebih komprehensif.

Bagaimanapun, usaha itu gagal dan Iran bertindak sebaliknya. Berikutan itu, Trump bertindak mengenakan semula sekatan menyeluruh dengan penambahan penalti ekonomi baharu terhadap Iran. - Bernama.