Gagal seludup minyak masak peket bersubsidi ke negara jiran

KPDNHEP Kelantan menggagalkan cubaan sebuah lori membawa 2,720kg minyak masak peket bersubsidi dipercayai untuk diseludup ke negara jiran di Peringat, di Kota Bharu pada Selasa.
KPDNHEP Kelantan menggagalkan cubaan sebuah lori membawa 2,720kg minyak masak peket bersubsidi dipercayai untuk diseludup ke negara jiran di Peringat, di Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Cubaan pemandu dan kelindan sebuah lori membawa 2,720 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi dipercayai untuk diseludup ke negara jiran berjaya digagalkan selepas kenderaan itu ditahan anggota penguat kuasa di Peringat, di sini pada Selasa.

Lori tersebut ditahan pada jam 3.20 petang menerusi Op Bersepadu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor serta Tok Bali Pasir Putih.

Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, semasa melakukan rondaan anggota bertugas telah mengesan sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Pauh Lima menuju ke Peringat pada jam 3 petang.

Menurutnya, anggota bertugas bertindak mengekori kenderaan tersebut dan berjaya menahan lori berkenaan 20 minit kemudian untuk tujuan pemeriksaan.

"Hasilnya, kita telah menjumpai minyak masak peket bersubsidi seberat 2,720 kg bernilai RM6,800 dalam kenderaan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, pemandu lori tersebut gagal untuk mengemukakan dokumen dan maklumat berkaitan dengan barangan yang dibawa itu.

Katanya, pemandu dan kelindan yang masing-masing berusia 40 dan 50 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Aswadi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan semua minyak masak peket itu akan dibawa ke stor sementara di sempadan yang dijadikan transit sebelum diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram.

Artikel Berkaitan:

"Kes akan disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki memiliki barang kawalan tanpa lesen dengan niat melakukan kesalahan.

"Siasatan lanjut dijalankan ke atas pemilik asal kenderaan dan punca barang kawalan yang diperoleh serta kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Menurutnya, KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau peniaga yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil.

Beliau berkata, kerjasama bersepadu bersama agensi penguatkuasaan sempadan giat dijalankan dari semasa ke semasa.