Ahli politik harus muhasabah terhadap isu patriotisme

Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong.
Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong.
A
A
A

SHAH ALAM- Seseorang ahli politik perlu muhasabah bahawa tindakan segelintir daripada mereka yang berpolitik sehingga memperlihatkan kepada masyarakat suatu pandangan ‘kotor’ dan ‘jahat’ sedikit sebanyak menjejaskan keinginan rakyat untuk mempamerkan rasa bangga dan kesetiaan kepada negara.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, patriotisme dalam kalangan rakyat secara umumnya masih utuh meskipun tidak dizahirkan oleh mereka secara langsung namun faktor politik antara sebab nilai patriotisme itu menjadi hambar.

"Rakyat didapati tidak senang hati apabila mandat mereka di peti undi dipermainkan oleh ahli politik dengan wujudnya budaya lompat parti dalam kalangan mereka dengan alasan kononnya mengadakan penjajaran baharu.

“Ahli politik hendaklah muhasabah diri dan tidak terus berpolitik sehingga bidang politik dilihat ‘kotor’ dan ‘jahat’," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tambah beliau, ahli politik perlu lebih mengutamakan isu-isu berkaitan kebajikan rakyat sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) serta tidak bercakaran sesama sendiri.

Sementara itu, mengulas mengenai pendidikan sebagai pemangkin patriotisme, Kok Seong berkata, mata pelajaran Sejarah harus diberi penekanan secara serius supaya dapat memupuk sentimen nasional dan menegakkan warisan bangsa serta mewujudkan “Malaysianness” kepada anak bangsa kita.

Kata beliau, filem dan kesenian lain seperti lagu yang menggambarkan sisi-sisi nasionalisme perlu turut sama menyemai jiwa kenegaraan dalam masyarakat.

“Dalam hal ini, patriotisme harus dipupuk untuk disemai dalam jiwa setiap warganegara, secara sistematik, khususnya melalui saluran pendidikan formal,” katanya.