Parti mana jadi pilihan pengundi Melayu?

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KEPUTUSAN muktamad Barisan Nasional (BN) untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagaimana yang dinyatakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menunjukkan parti itu sudah tidak lagi mahu ‘pening kepala’ memikirkan kerjasama dengan parti lain.

Berbaki beberapa bulan sahaja menghampiri tempoh matang sebelum PRU wajib diadakan, BN pastinya tidak mahu bermain tarik tali lagi, khususnya dengan Pas yang sehingga kini kekal dengan idea untuk membawa bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan alasan demi penyatuan ummah.

Namun, usaha itu ditolak kerana mengajak Bersatu yang merupakan serpihan UMNO untuk bekerjasama diibaratkan seperti meminta Pas bekerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) yang mustahil dilakukan.

Kesannya, PRU15 dijangka menjadi pilihan raya paling sengit apabila parti-parti Melayu semakin banyak berpecah dan membuatkan pengundi Melayu ‘rambang mata’ memilih parti yang patut dipangkah.

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marsuki menyedari akan hakikat itu sehingga mengeluarkan kenyataan bahawa perlunya ruang persefahaman Muafakat Nasional (MN) diwujudkan secara tidak rasmi.

Ini disebabkan kebimbangan beliau terhadap perpecahan parti-parti Melayu yang membuka ruang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi PRU15.

Sebanyak 27 kerusi Parlimen sangat berisiko untuk jatuh ke tangan PH sekiranya UMNO dan Pas bertembung pada PRU15.

Namun, Mohamad yang merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan menegaskan, keputusan untuk bergerak solo adalah muktamad dan sebarang rundingan hanya akan dibuat selepas pilihan raya.

Bagaimanapun, bagi memastikan kemenangan BN, parti itu kini memfokuskan kepada usaha menyelesaikan masalah dalaman dihadapi terlebih dahulu agar boleh bergerak bersama-sama dalam satu pasukan.

Strategi

Persoalannya kini, apakah formula dan strategi yang akan digunakan UMNO dan Pas untuk memikat pengundi Melayu memandangkan kedua-dua parti itu mempunyai lebih ramai pengundi Melayu berbanding PH?

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid percaya, jika UMNO tetap nekad dengan keputusannya, Pas mempunyai dua pilihan iaitu boleh meneruskan usaha bersama Bersatu atau bertanding secara solo.

“Secara literal, Pas telah ada penyokong tegar di Kelantan, Terengganu dan sebahagian Kedah dan Perak. Pada PRU14, tiada satu pun kerusi PH yang berjaya ditembusi di Kelantan.

“Jadi, saya percaya Pas boleh terus selesa dengan mengekalkan kemenangan kerusi Parlimen sebanyak 17 ke 20 kerusi. Secara strategi, boleh bertindak sebagai kuasa penentu dalam sokongan membentuk kerajaan nanti.

“Tetapi, saya melihat Pas hanya kukuh dan kental di moral constituents seperti Kelantan dan tidak begitu popular di kawasan bandar,” ujarnya.

Bagi UMNO pula, katanya, orang Melayu masih lagi percaya dan yakin dengan parti itu kerana PKR bersama DAP dahulu dilihat tidak peka dan kurang sensitif dengan perjuangan orang Melayu.

Beliau menjangkakan strategi UMNO yang akan digunakan dalam PRU15 adalah dengan mengekalkan pendekatan menampilkan muka baharu dengan ratio 70:30.

Menurutnya, strategi memperkenalkan muka baharu yang berkaliber telah membantu UMNO-BN menang dalam pilihan raya kecil pada tahun 2019 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

UMNO juga akan menggunakan strategi dengan lebih peka dengan isu semasa termasuk lokal dan pusat untuk membolehkan pengundi mendapat perhatian dan bantuan, sesuai dengan suasana inflasi kini.

Walau apa strategi digunakan, pada akhirnya nanti, pengundi yang akan memutuskan dan menentukan parti manakah yang menjadi pilihan hati.

Dengan tiga kerajaan yang bertukar ganti dalam tempoh empat tahun sejak PRU14, pengundi tentunya sudah merasai pemerintahan berbeza, seterusnya membuat keputusan terbaik pada PRU15.

*Farah Shazwani Ali ialah wartawan Sinar Harian Nasional.