Arak, diesel bersubsidi lebih setengah juta ringgit dirampas

PPM melakukan serbuan di Kampung Sinaran Baru, Skudai, Johor Bahru pada Isnin dan menahan lima lelaki serta merampas diesel bersubsidi dan pelbagai barangan lain.
PPM melakukan serbuan di Kampung Sinaran Baru, Skudai, Johor Bahru pada Isnin dan menahan lima lelaki serta merampas diesel bersubsidi dan pelbagai barangan lain.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas arak dan diesel bersubsidi bernilai RM511,121 dalam dua serbuan berasingan di kawasan Johor Bahru Utara pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, serbuan pertama dilakukan pada jam 1 petang selepas PPM menahan sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Navara di Kawasan Perindustrian Taman Johor, Kempas.

Menurutnya, pacuan empat roda itu berada dalam keadaan mencurigakan dan hasil serbuan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun ditahan.

PPM merampas 19 kotak minuman keras dari sebuah kenderaan pacuan empat roda yang ditahan di Kawasan Perindustrian Taman Johor, Kempas, pada Isnin.
PPM merampas 19 kotak minuman keras dari sebuah kenderaan pacuan empat roda yang ditahan di Kawasan Perindustrian Taman Johor, Kempas, pada Isnin.

"Kita merampas 19 kotak minuman keras, satu telefon bimbit, kunci dan kenderaan pacuan empat roda tersebut. Semua rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM123,271," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, lelaki berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara dan direman selama lima hari bermula Selasa.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Beliau berkata, lima lelaki tempatan berusia 19 hingga 46 tahun ditahan menerusi serbuan kedua pada hari dan waktu yang sama di Kampung Sinaran Baru, Skudai.

"Sebuah treler berisi 31,000 liter diesel bersubsidi, sebuah tangki yang sudah diubah suai berisi 800 liter diesel, 34 tangki dengan kapasiti 1,000 liter, sebuah meter, dua pam minyak, sebuah lori dan sebuah pacuan empat roda turut dirampas.

Beliau menambah, anggaran semua rampasan tersebut berjumlah RM387,121 dan kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor Bahru untuk tindakan lanjut.