Budayakan bebas polisterin, penyedut minuman plastik

Izani (dua dari kiri) menunjukkan bekas makanan yang mesra alam boleh digunakan oleh peniaga.
Izani (dua dari kiri) menunjukkan bekas makanan yang mesra alam boleh digunakan oleh peniaga.
A
A
A

KOTA BHARU - Pelesen- pelesen di bawah Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) diminta menyambut baik kempen membudayakan bebas plastik, polisterin dan penyedut minuman.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Rosnazli Amin berkata, langkah itu bertujuan supaya masyarakat dapat mengubah gaya hidup ke arah kelestarian alam sekitar dan kesihatan yang lebih baik.

“Penyedut minuman sering dikaitkan dengan masalah longkang tersumbat. Kajian menunjukkan lebih 30 juta penyedut minuman digunakan di Malaysia setiap hari.

“Sebahagian besar penyedut minuman akan dihanyutkan ke longkang, sungai dan akhirnya ke laut. Penyedut minuman plastik juga mengambil masa bertahun-tahun untuk mereput tetapi tidak pupus sebaliknya bertukar menjadi plastik mikro yang membahayakan manusia dan hidupan lain.

“Kami akan mengeluarkan notis-notis arahan kepada pelesen-pelesen di bawah pentadbiran MPKB-BRI untuk menyambut baik kempen ini dan bersama-sama menjaga kesihatan dan persekitaran kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutupan Kempen Kesihatan Persekitaran 2022 dan Kempen Bebas Plastik, Polistren dan Straw di Dataran Muhammadi di sini pada Selasa.

Turut hadir Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin.

Rosnazli berkata, menerusi kempen berkenaan, para peniaga, pengurus-pengurus pasar raya, kakitangan kerajaan dan orang ramai diminta mengambil langkah sewajarnya untuk mengubah gaya hidup seharian.

“Menggunakan beg guna semula untuk membeli belah di pasar raya dan pasar-pasar awam, mengisi makanan menggunakan bekas yang boleh digunakan secara berulang kali dan minum terus minuman dari gelas atau botol.

“Sekiranya sangat memerlukan, gunakan penyedut minuman besi atau kertas yang mesra alam,” katanya.

Beliau berkata, menurut Pakar Toksikologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr Mustafa Ali Mohd, penyakit kanser antara kemungkinan berpunca daripada penggunaan plastik dan polisterin secara berleluasa serta berterusan sejak sekian lama.

“Plastik dan polisterin mengambil masa selama 100 hingga 500 tahun untuk lupus secara semulajadi dan menjadi ancaman kepada alam sekitar.

“Meneguk minuman terus dari gelas atau botol sebenarnya lebih baik untuk kesihatan berbanding minum menggunakan penyedut minuman plastik,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, MPKB-BRI melaksanakan tiga kempen pada tahun ini iaitu Kempen Premis Makanan Bersih di Medan Selera Bazar Tengku Anis, Kempen Tandas Awam Bersih di Tandas Awam Dataran Muhammadi dan Kempen Membasmi Tikus di Pasar Besar Siti Khadijah.

“Pada tahun 2021 MPKB-BRI mencatat sejarah Pasar Besar Siti Khadijah dinobatkan Johan Kempen Pasar Awam Terbersih Peringkat Kebangsaan dan Naib Johan Kempen Membasmi Denggi di Wakaf Stan yang sehingga kini menjadi contoh kepada PBT lain.

“Sepanjang kempen, banyak perubahan ketara seperti gerai yang mendapat gred A di Medan Selera Bazar Tengku Anis berbanding sebelum ini hanya gred C dan B sahaja.

"Tandas Awam dataran Muhammadi juga meningkat kepada lima bintang daripada tiga bintang sebelum ini selain populasi tikus dapat dikurangkan di Pasar Siti Khadijah,” katanya.