Remaja perempuan dicekup bersama tiga rakan lelaki

Antara pasangan yang ditahan dalam serbuan di sebuah motel di Padang Temusu awal pagi Selasa.
Antara pasangan yang ditahan dalam serbuan di sebuah motel di Padang Temusu awal pagi Selasa.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang remaja perempuan dicekup bersama tiga rakan lelaki dalam serbuan dilakukan di sebuah bilik motel di Padang Temusu dekat sini awal pagi Selasa.

Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd Noor Ismardi Ismail berkata, dalam serbuan jam 1 pagi itu, anggota penguatkuasa agama yang membuat pemeriksaan menemui remaja berusia 15 tahun bersama tiga lelaki berusia antara 18 hingga 21 tahun.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut di sekitar bilik yang sama turut menemui kondom yang disyaki telah digunakan dibuang ke dalam tong sampah.

"Operasi yang dilaksanakan 15 anggota terdiri daripada kakitangan Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dengan bantuan Skuad Badar itu kemudian menahan seorang lelaki berusia 60 tahun bersama wanita berstatus ibu tunggal berusia 45 tahun dalam serbuan berasingan.

Zaiferi (kiri) memeriksa identiti 10 individu yang ditahan dalam serbuan awal pagi Selasa.
Zaiferi (kiri) memeriksa identiti 10 individu yang ditahan dalam serbuan awal pagi Selasa.

"Bagi mengelak perbuatan mereka diketahui ahli keluarga, lelaki terbabit sanggup menghubungi besan manakala wanita itu pula menghubungi anak perempuan bagi urusan jaminan," katanya.

Jelasnya, operasi diketuai Pegawai Penguat kuasa Agama Daerah Kuala Muda Zaiferi Zainul Abidin telah menahan 10 individu berusia antara 15 hingga 60 tahun.

Individu yang ditahan dibawa ke Balai Polis Sungai Petani bagi laporan tangkapan seterusnya meminta waris hadir untuk tindakan lanjut.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 iaitu khalwat yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Kami meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat aktiviti mencurigakan atau maksiat, boleh hubungi imam kariah atau terus ke pejabat agama bagi membanteras perbuatan itu," katanya.