Tangkap anjing liar tak salah, tetapi gunalah cara betul

Tangkap layar video memaparkan kejadian berkenaan yang dimuat naik di laman Facebook SAFM.
Tangkap layar video memaparkan kejadian berkenaan yang dimuat naik di laman Facebook SAFM.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) mempersoalkan tindakan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika menangkap anjing liar sehingga menyebabkan kecederaan kepada haiwan terbabit.

SAFM dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, menerima satu klip video memaparkan kejadian yang jelas berlaku pelanggaran SOP oleh petugas PBT berkenaan.

"Dalam video terbaru ini, kekasaran jelas terbukti terjadi di mana seekor anjing dewasa diheret dan dihumban secara ganas oleh seorang petugas menggunakan gelung tangkap.

"Anjing terbiar ini sudah pun berlumuran darah di mulutnya namun terus diseret, ia jelas menggambarkan kegagalan pihak itu untuk mengikut SOP penangkapan anjing," menurut kenyataan tersebut pada Selasa.

Kenyataan itu memaklumkan, menurut SOP sedia ada, haiwan liar tidak boleh dijerut atau ditarik ketika proses penangkapan dan petugas tidak sepatutnya mengheret serta menghumban anjing berkenaan ke dalam kenderaan dengan kejam.

SAFM memaklumkan tidak mempertikaikan tugas PBT untuk menangkap haiwan liar namun ia perlu dijalankan dengan cara yang betul kerana haiwan juga merupakan salah satu mahluk ciptaan tuhan yang mempunyai rasa sakit.

"Menangkap anjing terbiar tidak salah jika cara betul dan selamat digunakan malah pihak kami sudi membantu memberi nasihat serta latihan kepada mana-mana pihak yang memerlukan.

"SAFM memohon kerjasama dari semua pihak supaya hak kebajikan haiwan kita dapat dilindungi," ujarnya.

Sementara itu, Sinar Harian telah menghubungi PBT yang didakwa terlibat dalam proses penangkapan itu dan sedang menunggu kenyataan rasmi daripada pihak berkenaan.