Isu LCS: 13 individu dirakam keterangan pada Rabu

Noor Dellhan
Noor Dellhan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 13 orang individu termasuk penganjur, ahli politik dan mahasiswa yang dikenal pasti terlibat dalam perhimpunan 'Protes Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS) di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada Ahad akan dipanggil merakam keterangan pada Rabu ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua individu itu telah dihubungi dan diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

"Kita sudah memanggil 13 individu itu dan mereka akan hadir ke IPD Dang Wangi untuk dirakam keterangan pada jam 3 petang Rabu ini," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Noor Dellhan berkata, kertas siasatan telah dibuka berkaitan perhimpunan itu mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pada Ahad, media melaporkan perhimpunan yang dihadiri kira-kira 100 orang bermula jam 2 petang itu turut dihadiri Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Howard Lee; Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

Sementara itu, Jawatankuasa Protes Mana LCS dalam kenyataan menuntut tiga perkara termasuk mendesak kerajaan Malaysia mengambil tindakan ke atas laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi memastikan setiap salah laku disiasat.

Selain itu, jawatankuasa berkenaan turut mendesak Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meletakkan jawatan kerana didakwa culas dalam tugasnya sebagai Menteri Pertahanan selain meningkatkan risiko keselamatan negara terdedah dengan ancaman musuh.