Kapal layar mewah milik syarikat dari Hong Kong

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

KANGAR - Kapal layar mewah berbentuk seperti kapal angkasa yang berlabuh di perairan Kuala Perlis berhampiran Terminal Feri Kuala Perlis pada Sabtu didaftarkan di Hong Kong.

Ketua Pejabat Laut Negeri Perlis, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara, Mohamad Nazim Kamil Mohd Halimi berkata, kapal layar sepanjang 42.5 meter itu yang menelusuri muara Sungai Perlis disahkan milik syarikat Dark Star Limited.

Menurutnya, kapal berkenaan dilihat di perairan negara berikutan ia dalam perjalanan menuju ke dermaga Perlis Marine Engineering (PME) bagi tujuan penyelenggaraan dan pembaikan.

"Difahamkan kapal berkenaan akan berada di PME sehingga enam bulan, namun bergantung kepada tempoh pembaikan kapal itu sendiri.

"Keberadaan kapal layar itu dibenarkan sehingga proses pembaikan selesai," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Selasa.

Mohamad Nazim Kamil memaklumkan, kapal yang mempunyai dua lunjuran besar di sebelah kiri dan kanannya itu mendapat kebenaran Jabatan Laut Malaysia untuk melalui muara sungai sebelum berlabuh di PME yang terletak di Kampung Tengah, Kuala Perlis.

"Mereka mematuhi semua prosedur yang ditetapkan dan memasuki perairan secara sah," katanya lagi.

Pada Sabtu, nelayan dan penduduk sekitar Kuala Perlis dikejutkan dengan kehadiran sebuah kapal layar mewah menelusuri muara Sungai Perlis.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Perlis (Pelaris) Jasni Hashim berkata, walau bagaimanapun kehadiran kapal layar mewah jenis Adastra itu pada kira-kira jam 12 tengah hari itu tidak mengganggu aktiviti nelayan yang berada di sepanjang muara sungai berkenaan.

Menurutnya, muara sungai itu sememangnya menjadi laluan pelbagai jenis bot dan kapal namun kehadiran kapal layar mewah yang dianggarkan bernilai sekitar AS$45 juta (RM200,014,605) adalah pertama kali dilihat oleh penduduk setempat.