'Subkontraktor projek LCS buat tuntutan RM178 juta'

Rafizi. Gambar kecil: Tangkap layar hantaran Rafizi di Facebooknya pada Selasa.
Rafizi. Gambar kecil: Tangkap layar hantaran Rafizi di Facebooknya pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli pada Selasa mendedahkan satu lagi kepincangan skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS) dengan mendakwa syarikat subkontraktor projek itu yang baharu ditubuhkan 45 hari terus membuat tuntutan yuran memulakan kerja sebanyak RM178 juta.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, ia adalah satu lagi pembayaran yang tidak mengikut prinsip-prinsip di dalam Pekeliling Perbendaharaan.

"Kertas siasatan dalaman projek LCS menunjukkan bahawa subkontraktor lapisan keduanya, Contraves Electrodynamics Sdn Bhd atau CED membuat tuntutan sebanyak RM178 juta sebagai yuran memulakan kerja pada hari yang sama ia dilantik, sedangkan pada ketika itu subkontraktor ini ditubuhkan 45 hari sebelum itu.

"Portal The Vibes sebelum ini melaporkan CED ditubuhkan pada 23 Februari 2012 iaitu 45 hari sebelum ia dilantik sebagai subkontraktor lapisan kedua untuk pakej utama (projek ini) bernilai RM1.2 bilion," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Rafizi turut menyenaraikan kronologi bayaran yang melanggar prinsip urus tadbir Pekeliling Perbendaharaan tersebut.

Menurut beliau, pada 9 April 2012, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang melaksanakan pembinaan projek LCS tersebut melantik Contraves Advanced Devices (CAD) sebagai subkontraktor bagi dua pakej utama bernilai RM1.2 bilion

"Pada tarikh sama, CAD terus melantik CED, sebuah syarikat yang baru berusia 45 hari sebagai subkontraktor bagi dua pakej yang dianugerahkan oleh BNS.

"Namun, CED membuat tuntutan sebanyak RM178 juta sebagai yuran memulakan kerja pada hari yang sama ia dilantik sebagai kontraktor lapisan kedua," dakwanya.

Rafizi menegaskan, transaksi-transaksi sebegitu merupakan satu penyelewengan yang melanggar peraturan pembayaran Kementerian Kewangan.

Justeru itu, beliau menjelaskan, sebagai Menteri Kewangan pada ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak mesti menjawab bagaimana sebuah subkontraktor yang hanya berusia 45 hari boleh membuat tuntutan berjumlah RM178 juta dari projek pertahanan utama negara.

"Penyelewengan-penyelewengan beginilah yang menyebabkan BNS akhirnya tidak mempunyai dana (walaupun telah dibayar kerajaan) dan projek tergendala sehingga tidak ada satu kapal pun siap hingga ke hari ini," katanya.

Rafizi menambah, kebelakangan ini kerajaan Pas-UMNO- (Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) cuba mengalih perhatian dari isu sebenar yang menimbulkan kemarahan rakyat.

Dakwanya lagi, mesin propaganda Pas-UMNO-Bersatu yang diketuai Najib cuba meyakinkan rakyat bahawa tiada penyelewengan berlaku sebaliknya hanyalah kelewatan projek.

"Sehingga kini, Najib sendiri belum menjawab soalan-soalan pokok yang saya utarakan sejak saya mendedahkan butiran projek LCS yang mengesahkan ada penyelewengan," katanya.

Skandal projek LCS itu menarik perhatian ramai apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya pada 4 Ogos lalu mendedahkan kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada BNS untuk projek lima kapal LCS yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima setakat ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh mendedahkan, lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lapuk daripada projek kapal peronda lama.

Ekoran itu, Rafizi dilaporkan berkata akan mendedahkan satu persatu penyelewengan yang berlaku tersebut dalam tempoh sebulan ini termasuk syarikat-syarikat palsu yang ditubuhkan didakwa untuk melarikan wang.