Subkontraktor LCS: Najib tunggu penjelasan Rafizi

Najib
Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli untuk memberikan penjelasan berkaitan pemilik kepada dua syarikat subkontraktor yang terbabit dalam projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Ia selepas Rafizi mengeluarkan dakwaan bahawa Najib yang juga bekas Perdana Menteri mempunyai penglibatan dalam projek tersebut melalui syarikat subkontraktor daripada Perancis, DCNS atau sekarang dikenali sebagai Naval Group.

"Sudah lebih 24 jam. Bila nak jelaskan siapa pemilik bagi dua kontraktor berlapis iaitu Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) yang kamu sebut semalam? Kenapa tak jujur? soal Najib menerusi hantaran di Facebook beliau pada Rabu.

Rafizi pada Selasa mendakwa wujud perancangan awal dalam projek LCS untuk menyembunyikan pembabitan DCNS iaitu syarikat sering dikaitkan dengan Najib.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, DCNS menggunakan tiga lapis syarikat bagi projek pembinaan enam kapal perang itu yang menyebabkan peningkatan kos sebanyak tiga kali ganda.

Jelas Rafiz, sekiranya DCNS adalah pembekal utama kepakaran, reka bentuk dan pembinaan kapal LCS, kerajaan Malaysia sepatutnya melantik DCNS secara terus seperti dilakukan dalam projek kapal selam Scorpene.

Bagaimanapun, Rafizi berkata, kerajaan sebaliknya melantik Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) sebagai kontraktor utama yang kemudian melantik syarikat lain sebagai subkontraktor.

Menurut pendedahan dilakukan, Rafizi memaklumkan CAD yang telah dilantik sebagai subkontraktor oleh BNS telah melantik CED pada tahun 2012 sebagai kontraktor yang kemudiannya mengeluarkan surat lantikan (LOA) kepada DCNS untuk membekalkan kerja-kerja dalam dua pakej berkaitan perbekalan dan pembinaan berjumlah RM1.185 bilion.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Najib menerusi hantaran di Facebooknya pada hari sama mempersoalkan sama ada Rafizi membuat tuduhan bahawa beliau yang merupakan Perdana Menteri ketika projek itu dimulakan telah berpakat dengan kedua-dua subkontraktor terbabit.

Menurut Najib, kedua-dua syarikat itu adalah entiti usaha sama anak syarikat Boustead iaitu Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) dan syarikat Jerman Rheinmetall Air Defence AG.

Katanya, pengarah urusan BHIC dan pengerusi jawatankuasa projek LCS ketika itu ialah bekas Panglima Tentera Laut, Ahmad Ramli Mohd Nor.

Menurut Najib, beliau tidak ada masalah sekiranya siasatan dilakukan terhadap kontraktor terbabit kerana dia tidak mempunyai sebarang penglibatan dengan entiti berkenaan.