Kes rasuah berprofil tinggi, dua mahkamah jadi tumpuan

Mahkamah Persekutuan
Mahkamah Persekutuan
A
A
A

DUA mahkamah dijangka menjadi tumpuan pada hari ini berikutan dua kes rasuah membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan kes perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menyambung pendengaran rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan dan hukuman atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Pendengaran rayuan pada hari pertama bermula Isnin menyaksikan Najib memohon rayuan akhir kes tersebut ditangguh sehingga siasatan terhadap Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali selesai.

Pihak pembelaan Najib menghujahkan rayuan akhir bekas Perdana Menteri itu wajar ditangguhkan sehingga siasatan terhadap Hakim Bicara, Mohd Nazlan selesai.

Peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik juga menyarankan, Mahkamah Persekutuan boleh meminta rekod siasatan dan melihat sendiri keterangan-keterangan yang diberikan oleh beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM)

Bagi kes LCS, seorang bekas pegawai kanan di syarikat pembuat kapal, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kes kontroversi itu hari ini.

Individu itu dilapor akan didakwa dengan pertuduhan pecah amanah membabitkan kes perolehan LCS yang sepatutnya dimiliki Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Dalam perkembangan lain, pengesahan Barisan Nasional (BN) bahawa terdapat lima lagi parti yang memohon menyertai gabungan itu selain Parti Bangsa Malaysia (PBM) juga dijangka mencuri tumpuan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir memilih untuk mengunci mulut daripada mendedahkan identiti lima lagi parti tersebut.

Ini kerana, Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada malam Isnin, belum membuat sebarang keputusan dibuat berhubung permohonan berkenaan.

"Mesyuarat membincangkan permohonan beberapa parti untuk menjadi komponen BN yang pasti lebih daripada satu (parti).

"Dewan Tertinggi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada parti-parti tersebut atas minat dan kesediaan mereka untuk bersama-sama dengan BN," katanya.