[VIDEO] Kes LCS: Bekas naib pengerusi eksekutif perkapalan dituduh esok

Seorang bekas naib pengerusi eksekutif sebuah syarikat perkapalan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa susulan siasatan kes perolehan kapal tempur pesisir (LCS). - Foto Bernama
Seorang bekas naib pengerusi eksekutif sebuah syarikat perkapalan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa susulan siasatan kes perolehan kapal tempur pesisir (LCS). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas naib pengerusi eksekutif sebuah syarikat perkapalan akan dituduh di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa susulan siasatan kes perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

Menurut sumber, lelaki berusia lewat 70-an itu akan didakwa atas pertuduhan melibatkan pecah amanah.

Dia dijangka hadir sendiri bersama peguamnya sebelum pertuduhan dibaca, selepas jam 9 pagi pada Selasa.

Minggu lalu, Sinar Harian melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh mempertahankan tindakan jawatankuasa itu mendedahkan laporan isu perolehan LCS kepada umum.

Menurutnya, PAC menghormati keperluan untuk menjaga sensitiviti keselamatan negara.

Beliau mendedahkan, lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

Dalam laporan tersebut, PAC menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek LCS, antaranya kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus, namun tiada kapal diterima setakat ini.

SPRM kemudian menerima laporan berhubung projek LCS susulan kegagalan pihak terbabit menyerahkan kapal tersebut mengikut tempoh ditetapkan.

Mengikut kontrak asal yang ditandatangani pada 2014, TLDM sepatutnya menerima LCS pertama pada April 2019 setelah membuat bayaran lebih RM6 bilion.

Khamis lalu, SPRM dalam satu kenyataan menyebut, pihaknya sudah mengemukakan kertas siasatan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan LCS kepada Jabatan Peguam Negara.