Lelaki ditahan proses dadah di Batam bukan pegawai PDRM

Seorang suspek yang ditahan oleh Badan Narkotika Nasional Indonesia di Batam pada 19 Julai lalu.
Seorang suspek yang ditahan oleh Badan Narkotika Nasional Indonesia di Batam pada 19 Julai lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang ditahan pihak berkuasa Indonesia ketika serbuan di makmal memproses syabu di Batam, Indonesia, bukan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, suspek juga tidak pernah berkhidmat sebagai sukarelawan polis atau polis bantuan.

"Semakan lanjut turut mendapati suspek berkenaan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan ugutan kekerasan dan menyamar sebagai polis," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Skandaguru berkata, pihaknya mengesan sebaran klip video yang diambil dari berita Indonesia mengenai tangkapan seorang lelaki warga Malaysia oleh Badan Narkotika Nasional Indonesia.

"Dalam laporan berita tersebut, suspek didakwa merupakan bekas warga PDRM. Semakan mendapati suspek tersebut tidak pernah berkhidmat sebagai pegawai polis.

"Kita sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia berhubung kes ini dan bersedia menyalurkan maklumat yang diperlukan dalam usaha membanteras jenayah narkotik," ujarnya.

Dalam laporan Sinar Harian pada 22 Julai lalu, Badan Narkotik Nasional Indonesia membongkar sebuah makmal mini memproses dadah jenis syabu selepas menahan tiga individu warga tempatan, termasuk seorang warganegara Malaysia di Kepulauan Riau pada 19 Julai.

Ketua agensi itu, Inspektor General Petrus Golose berkata, warga Malaysia yang juga bekas anggota polis berpangkat koperal ditahan dalam serbuan di makmal yang beroperasi di rumah sewa di perumahan Sukajadi, Batam.