Pembantu rumah ditahan kes aniaya anak majikan

Suspek (kanan) kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dakwaan menganiaya anak majikannya di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
Suspek (kanan) kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dakwaan menganiaya anak majikannya di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis menahan seorang pembantu rumah warga Indonesia kerana dipercayai menganiaya dua beradik yang merupakan anak majikannya di sebuah taman perumahan di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, penahanan wanita berusia 48 tahun itu dibuat susulan laporan polis oleh ibu mangsa di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu pada hari sama.

“Mengikut laporan yang dibuat ibu mangsa, suspek didakwa merentap tangan mangsa hingga terkehel selain menyiram air secara berterusan ke wajah salah seorang kanak-kanak berkenaan.

“Dua beradik berusia tiga tahun dan 20 bulan itu telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menjalani pemeriksaan dan kita masih menunggu laporan perubatan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Menurut Abdul Rahim, perbuatan suspek terbongkar pada Sabtu lalu menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah tersebut sebelum ibu mangsa membuat laporan polis.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula Isnin bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)( a ) Akta Kanak Kanak 2001,” katanya.