Duta negara ASEAN anggap produk pelancongan Pahang unik

Sebahagian daripada delegasi termasuk kedutaan dan Pesurujaya Tinggi Asean diberikan peluang untuk mencanting batik sempena program itu di Serambi Teruntum, Kuantan pada Isnin.
Sebahagian daripada delegasi termasuk kedutaan dan Pesurujaya Tinggi Asean diberikan peluang untuk mencanting batik sempena program itu di Serambi Teruntum, Kuantan pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Produk pelancongan di Pahang dianggap unik dan boleh dipromosikan ke negara-negara ASEAN lain dalam usaha memperkembangkan industri pelancongan di negeri ini khususnya dan Malaysia amnya.

Ia berdasarkan reaksi positif sempena penglibatan enam duta negara ASEAN dan 24 delegasi termasuk Pesuruhjaya Tinggi Kedutaan yang memeriahkan program Explore Pahang Bersama Duta ASEAN dan Wakil Pesuruhjaya Tinggi Kedutaan ke Kuantan selama tiga hari bermula Isnin.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono turut menyuarakan rasa kagum dengan keunikan budaya dan produk tempatan yang tidak terdapat di negara lain.

Menurutnya, pertukaran budaya dan diplomasi itu sebenarnya dapat mengeratkan hubungan Malaysia dan menjadikan Pahang sebagai lokasi yang wajib dikunjungi oleh pelancong dari negara-negara ASEAN.

“Di sini (Kuantan) sangat menarik, tempat berharga seperti ini wajib dikunjungi oleh pelancong dalam dan luar negara.

"Seperti di Serambi Teruntum ini, kita dapat lihat kepelbagaian kraftangan dan makanan tradisional rakyat Pahang dijual di sini.

“Saya juga menyukai sambal hitam apabila pertama kali mencubanya, walaupun di Indonesia juga ada pelbagai sambal tetapi sambal hitam ini sangat unik. Selain itu kerepek dan dodol juga sedap untuk dinikmati,” katanya.

Beliau juga bersedia mempromosikan keunikan di Kuantan kepada agensi pelancongan di Indonesia dalam menonjolkan Pahang sebagai negeri yang kaya dengan kebudayaan.

“Saya kira, Kementerian Luar Malaysia telah mempromosikan keunikan budaya di Pahang supaya bangsa lain kenal budaya dan kedutaan Indonesia akan melakukan perkara sama,” katanya.

Bagi Duta Loas ke Malaysia, Viengsavanh Sipraseuth pula mengakui pertama kali datang ke Pahang dan teruja dengan setiap lokasi yang dilawati.

Katanya, makanan dan budaya masyarakat di Pahang juga sangat unik dan begitu berbeza dengan budaya di negaranya.

“Pertama kali saya canting batik dan menyukainya. Begitu juga dengan sambal hitam, walaupun makanan ini ada di Loas tetapi cara hidanganya tidak sama. Kalau di Loas sambal sebegini dimakan bersama pulut tetapi di Pahang berlainan pula,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Promosi Antarabangsa Asia Tenggara Tourism Malaysia, Bahruddin Sulaiman berkata, program tiga hari dua malam itu diadakan bagi memperkenalkan produk pelancongan Pahang khususnya di Kuantan, selain membuka peluang kepada negara ASEAN untuk menerokai pelaburan di negeri ini.

Katanya, sempena program yang julung kali diadakan itu, duta dan wakil negara ASEAN akan turut dibawa berkunjung ke mercu tanda baharu Pahang iaitu Kuantan 188, selain mencuba masakan popular di negeri itu seperti patin masak tempoyak dan juga merasai buah-buahan tempatan.

"Kita berharap dengan usaha ini mereka akan bantu kita promosi destinasi menarik di Kuantan dan selepas ini kami merancang untuk membawa mereka mengunjungi Sabah pula," katanya.