Kastam rampas arak, air zamzam, produk tembakau hampir RM1 juta

Mohammad Sabri menunjukkan barangan yang dirampas dan disita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM Zon Tengah WPKL pada Isnin.
Mohammad Sabri menunjukkan barangan yang dirampas dan disita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM Zon Tengah WPKL pada Isnin.
A
A
A

PETALING JAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk minuman keras, produk tembakau, air zamzam dan barangan kontraban dalam operasi khas sejak 1 Mei hingga 31 Julai lalu di Pelabuhan Klang.

Pemangku Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Mohammad Sabri Saad berkata, rampasan terbabit dianggarkan bernilai RM931,260 dan melibatkan cukai sebanyak RM1.8 juta.

"Serbuan pertama, kita merampas 23,496 liter minuman keras, dianggarkan RM136,000 membabitkan jumlah cukai berjumlah RM902,00 di dalam sebuah kontena pada jam 4 petang 25 Mei lalu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM Zon Tengah WPKL di sini pada Isnin.

Mohammad Sabri berkata, semakan 'bill of lading' mendapati barangan itu telah diikrarkan sebagai peralatan mesin dari negara jiran.

"Tiada semakan dokumen berkaitan kelulusan pengimportan dagangan tersebut dikemukakan," katanya.

Beliau berkata, serbuan kedua pula berjaya merampas produk tembakau (tembakau kunyah) seberat 667 kilogram bernilai RM42,000 membabitkan cukai dianggarkan berjumlah RM58,640 pada 8 Jun.

"Hasil pemeriksaan mendapati produk tembakau itu disembunyikan di bahagian belakang muatan kontena bersama selipar getah dan produk makanan bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Semakan 'bill of lading' pula mendapati barangan tersebut diikrarkan sebagai barangan isi rumah dari negara jiran, wakil perkapalan juga gagal mengemukakan dokumen berkaitan kelulusan dagangan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam serbuan ketiga, beliau berkata, pihaknya berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 5,400 kotak air mineral yang dikategorikan sebagai barangan larangan import pada 21 Jun.

"Sebanyak 27,000 liter air zamzam yang dianggarkan bernilai RM601,260 dan melibatkan cukai sebanyak RM180,380 itu disita daripada sebuah kontena," katanya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat 'bill of lading' barangan tersebut diikrarkan sebagai barangan peribadi dari Timur Tengah dan wakil perkapalan juga gagal mengemukakan dokumen berkaitan kelulusan pengimportan dagangan tersebut.

"Siasatan awal turut mendapati barangan tersebut dijual secara komersial secara dalam talian. Seramai 18 orang ditahan dalam operasi terakhir pada 18 Julai hingga 27 Julai lalu.

"Dalam operasi tersebut, kita berjaya mematahkan rantaian aktiviti menyimpan dan menjual barangan tidak berkastam seperti rokok dan minuman keras bernilai RM152,000 melibatkan cukai sebanyak RM660,000.

"Tangkapan dan rampasan dilaksanakan di sekitar Lembah Klang manakala 30 kertas siasatan telah dibuka bagi tujuan pendakwaan," ujarnya.

Mohammad Sabri berkata, kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

"Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM 100,000 dan tidak lebih dari 20 kali amaun duti kastam atau RM500,000 atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," tegasnya.