Kadar kebolehpasaran lulusan TVET KPLB melebihi paras nasional

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto Bernama
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kadar kebolehpasaran siswazah lulusan Insitusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) (TVET@KPLB) telah melebihi paras standard nasional yang ditetapkan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, purata kadar kebolehpasaran siswazah bagi seluruh institusi pendidikan TVET@KPLB kini mencapai 87.67 peratus, manakala kadar kebolehpasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) nasional yang ditetapkan adalah 86.7 peratus yang perlu dicapai pada 2025.

"Kadar kebolehpasaran yang melebihi paras standard nasional ini secara tidak langsung mencerminkan bahawa pendidikan TVET yang dibekalkan oleh institusi TVET di KPLB berupaya menyediakan kebolehkerjaan dan laluan kerjaya yang cerah kepada para siswazah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini bagi menjawab soalan Senator Datuk Dr Azhar Ahmad yang ingin tahu keberkesanan pendidikan TVET di KPLB dari aspek kebolehpasaran siswazah serta sumbangan kepada pembangunan negara dan melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi.

Mahdzir memberitahu bahawa pelajar TVET aras tinggi dilengkapkan dengan lesen profesional yang diiktiraf antarabangsa dan membolehkan mereka mendapat pekerjaan di peringkat global.

Di samping itu, katanya institusi TVET juga giat menerapkan aplikasi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) seperti internet pelbagai benda (IoT), kecerdasan buatan dan sekuriti siber dalam program-program yang ditawarkan.

Beliau memaklumkan 280 institusi pendidikan TVET@KPLB menawarkan 515 program atau kursus TVET dalam 15 kluster kemahiran. - Bernama