Mahkamah benar Najib pinda notis usul masukkan bukti baharu

Najib ketika tiba di Mahkamah Persekutuan pada Isnin bagi perbicaraan rayuan sabitan dan hukuman penjara ke atas beliau berhubung penyelewengan dana SRC International. - Foto Bernama
Najib ketika tiba di Mahkamah Persekutuan pada Isnin bagi perbicaraan rayuan sabitan dan hukuman penjara ke atas beliau berhubung penyelewengan dana SRC International. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin, membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak meminda notis usul dalam permohonannya untuk memasukkan bukti tambahan dalam rayuan akhir penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima hakim membenarkan perkara itu sebelum peguam yang mewakili Najib, Hisyam Teh Poh Teik berhujah mengenai perkara itu.

Turut bersidang ialah empat panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Tengku Maimun berkata, pada peringkat ini mahkamah membenarkan pindaan itu namun bukan berhubung merit substantif kes.

Pindaan notis usul berkenaan adalah membabitkan keterangan lisan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Hussein dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Malaysia Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Keterangan itu sama ada Rosli menyedari pembabitan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam perbicaraan kes SRC, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Maybank Group.

Ia membabitkan perkhidmatan nasihat strategik yang diberikan Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd kepada 1MDB bagi penubuhan SRC pada tahun 2010/2011.

Selain itu, ia berhubung pemberian pinjaman Maybank kepada 1MDB bagi perolehan Tanjong Energy Berhad pada 2012 sebanyak RM4.7 bilion.

Artikel Berkaitan:

Bagi keterangan Shahrol Azral adalah membabitkan peranannya ketika menjadi CEO 1MDB dalam urusan dan pelantikan Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd serta pegawainya berkaitan perkhidmatan nasihat strategik dalam penubuhan SRC International pada tahun 2010/2011.

Prosiding ditangguhkan selama 30 minit sebelum Hisyam menyambung hujahannya.

Selain Hisyam, Najib selaku pemohon turut diwakili peguam Datuk Mohd Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat, M Rueben dan Hannah Kam Zhen Yi.

Bagi respondan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya Kanan adhoc, Datuk V Sithambaram dan empat Timbalan Pendakwa Raya iaitu Donald Joseph Franklin, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul dan Manjira Vasudevan.