[VIDEO] SRC: Ketua Hakim ketuai panel lima hakim dengar rayuan Najib

Panel hakim (dari kiri atas) Tengku Maimun, Nallini dan Mary Lim. Bawah kiri: Abang Iskandar dan Mohamad Zabidin.
Panel hakim (dari kiri atas) Tengku Maimun, Nallini dan Mary Lim. Bawah kiri: Abang Iskandar dan Mohamad Zabidin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan empat hakim lain sedang mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengemukakan bukti tambahan dalam kes penyelewengan SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya bagi membatalkan perbicaraan yang menyaksikan dia disabitkan kesalahan serta dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Hakim Tengku Maimun mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan semasa prosiding bermula pada 9.48 pagi.

Hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Hari ini (Isnin) mahkamah dijadual mendengar permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC dalam usaha bekas perdana menteri itu untuk mendapatkan perbicaraan semula.

Bukti tambahan yang cuba dikemukakan oleh Najib adalah berkaitan penemuan baru-baru ini bahawa hakim perbicaraan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah peguam dan setiausaha syarikat bagi Kumpulan Maybank pada 2006, yang mempunyai tanggungjawab keseluruhan muktamad dalam pengurusan dan pentadbiran semua jabatan undang-undang dalam seluruh kumpulan.

Sekiranya Najib gagal dalam permohonan ini, Mahkamah Persekutuan dijangka meneruskan pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya oleh Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Mohd Nazlan pada 28 Julai, 2020.

Najib, 69, diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat dan M. Rueben, manakala pasukan pendakwaan diketuai oleh Pendakwa Raya ad hoc Datuk V. Sithambaram dengan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Donald Joseph Franklin, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Manjira Vasudevan. - Bernama

Artikel Berkaitan: