[VIDEO] Najib tiba di mahkamah untuk rayuan akhir kes SRC International

Najib tiba di Mahkamah Persekutuan pada Isnin bagi prosiding rayuan sabitan, hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana SRC International.
Najib tiba di Mahkamah Persekutuan pada Isnin bagi prosiding rayuan sabitan, hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana SRC International.
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Mahkamah Persekutuan di sini pada jam 9.05 pagi Isnin, bagi prosiding rayuan sabitan hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Najib yang tiba di mahkamah dengan memakai sut hitam, ditemani ahli keluarga, rakan dan penyokongnya.

Hadir sama ialah peguam Hisyam Teh Poh Teik selaku peguam utama dan Liew Teck Huat serta M Rueben sebagai peguam bersama.

Prosiding itu bagi mendengar rayuannya untuk mengetepikan sabitan bersalah, hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC.

Mahkamah sebelum ini menetapkan prosiding berlangsung selama 10 hari bermula Isnin hingga Jumaat, namun ditukar kepada sembilan hari iaitu pada 15 hingga 19 Ogos dan 23 hingga 26 Ogos.

Seawal jam 7 pagi, lebih 50 petugas media tempatan dan antarabangsa termasuk jurukamera memenuhi pekarangan mahkamah.

Bagaimanapun hanya wartawan yang membuat pendaftaran menggunakan kad penerangan media dibenarkan mengikuti prosiding menerusi tayangan videolink di Mahkamah Bicara lima dan enam.

Najib selaku pemohon bersama barisan peguamnya, mengikuti prosiding itu di Mahkamah Bicara dua.

Ia akan didengar oleh lima panel hakim tetapi, senarai nama hakim belum didedahkan.

Mungkin juga Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat akan mengetuai barisan panel hakim, bersama empat yang lain.

Prosiding dijangka bermula dengan pendengaran usul oleh peguam yang mewakili Najib, untuk mengemukakan bukti baharu.

Jika usul itu ditolak, mahkamah kemudiannya akan mendengar rayuan Najib menerusi Hisyam Teh Poh Teik selaku peguam utama dan Liew Teck Huat serta M Rueben sebagai peguam bersama.

Difahamkan peguam akan mengemukakan permohonan secara lisan untuk menangguhkan prosiding rayuan utama selepas selesai hujahan dan keputusan mengenai bukti baharu itu kerana tidak bersedia untuk meneruskan rayuan.

Mereka pastinya memerlukan masa untuk membuat persediaan memandangkan baru sahaja dilantik oleh Ahli Parlimen Pekan itu, selepas Najib menghentikan perkhidmatan peguam asal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan firma Tetuan Shafee & Co.

Lebih-lebih lagi kata mereka, prosiding ini membabitkan isu penting kerana ia bukan rayuan biasa.

Bagaimanapun, pada 28 Julai lalu Mahkamah Persekutuan menggambarkan bahawa, pendengaran rayuan kes akan berlangsung sebagai mana yang dijadualkan.

Mahkamah dengan jelas menegaskan, tiada penangguhan akan dibenarkan dan semua pihak dikehendaki mengambil langkah sewajarnya serta bersedia lebih awal.

Perkara itu didedahkan menerusi surat daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan kepada firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) yang baharu dilantik Najib.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, pecah amanah dan pengubahan wang haram, serta 12 tahun penjara dan denda RM210 juta atau lima tahun penjara bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan terhadap Najib.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Pekan itu hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun berikutan hakim memerintahkan kesemua hukuman tersebut berjalan serentak.

Najib, ketika ini bebas atas ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu kes rayuan itu selesai.