13 individu terlibat himpunan ‘Protes Mana LCS’ akan dipanggil

Kira-kira 100 peserta terlibat himpunan ‘Protes Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ yang berlangsung di hadapan sebuah pusat membeli-belah pada Ahad.
Kira-kira 100 peserta terlibat himpunan ‘Protes Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ yang berlangsung di hadapan sebuah pusat membeli-belah pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 13 individu dikenal pasti terlibat dalam himpunan ‘Protes Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ yang berlangsung di hadapan sebuah pusat membeli-belah di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua individu yang terlibat dalam himpunan tersebut akan dipanggil bagi memberikan keterangan bagi siasatan dalam masa terdekat.

Menurutnya, himpunan yang dijalankan kira-kira jam 2 petang itu didapati tidak mematuhi peruntukan undang-undang.

"Hasil pemerhatian yang dijalankan, lebih kurang 60 individu terdiri daripada pertubuhan badan bukan kerajaan(NGO), mahasiswa, parti politik dan beberapa individu yang dikenal pasti terlibat dalam himpunan berkenaan.

"Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah membuka kertas siasatan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dengan sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang.

"Tindakan tegas akan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang ditetapkan," katanya.

Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 100 orang bermula jam 2 petang itu turut dihadiri Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Howard Lee; Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir serta pimpinan pemuda PH termasuk daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan mahasiswa universiti.

Sementara itu, Jawatankuasa Protes Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS) dalam kenyataan menuntut tiga perkara termasuk mendesak kerajaan Malaysia mengambil tindakan ke atas laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi memastikan setiap salah laku disiasat.

Selain itu, jawatankuasa berkenaan turut mendesak Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meletakkan jawatan kerana didakwa culas dalam tugasnya sebagai Menteri Pertahanan selain meningkatkan risiko keselamatan negara terdedah dengan ancaman musuh.