Skandal LCS: Kerajaan perlu jawab segera di Parlimen

Syed Saddiq ketika berucap di hadapan kira-kira 100 peserta perhimpunan aman ‘Protes Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ di hadapan sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur pada Ahad.
Syed Saddiq ketika berucap di hadapan kira-kira 100 peserta perhimpunan aman ‘Protes Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ di hadapan sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memberikan jawapan segera di Parlimen berhubung isu kelewatan dan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia adalah isu persoalan rakyat dan tidak wajar siasatan atau sebarang kenyataan dari kerajaan berhubung LCS dilewatkan.

Menurut beliau, laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah dibuat sejak tahun 2017.

“Saya dimaklumkan laporan sudah dibuat oleh beberapa pihak kerana wujud penyalahgunaan kuasa berskala besar dan ada laporan sudah dibuat sejak tahun 2017 dan baru-baru ini, tetapi jangka masa siasatan sangat panjang.

“Dalam siasatan juga, jangan hanya tangkap ikan bilis tapi jerung besar terlepas, sebab itu jangan kita hanya lihat Boustead Naval Shipyard (BNS), sub-sub kontraktornya juga harus disiasat dan mereka terlibat bukan warganegara Malaysia.

"Lepas duit ini lesap dan hilang mereka dah balik ke negara masing-masing. Inilah soalan-soalan yang perlu dijawab dan perlu siasatan menyeluruh,” katanya pada sidang akhbar selepas himpunan aman ‘Protes Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ yang berlangsung di hadapan sebuah pusat membeli-belah di sini, pada Ahad.

Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 100 orang bermula jam dua petang itu turut dihadiri Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Howard Lee; Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir serta pimpinan pemuda PH termasuk daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan mahasiswa universiti.

Sementara itu, Jawatankuasa Protes Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS) dalam kenyataan menuntut tiga perkara termasuk mendesak kerajaan Malaysia mengambil tindakan ke atas laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi memastikan setiap salah laku disiasat.

“Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) harus ditubuhkan segera. Mereka yang mengambil kesempatan dan mengaut untung dari skandal ini harus diheret kemuka pengadilan dengan segera.

"Sejak pendedahan skandal projek pembinaan enam kapal LCS dibuat PAC, kerajaan langsung tidak mengambil sebarang langkah yang bertanggungjawab kepada rakyat.

“Skandal bernilai RM6.083 bilion ini kononnya akan menyediakan kapal tempur pesisir untuk tujuan keselamatan negara. Malangnya, sehingga hari ini tidak ada satu pun kapal yang siap untuk operasi,” katanya.

Selain itu, jawatankuasa berkenaan turut mendesak Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meletakkan jawatan kerana didakwa culas dalam tugasnya sebagai Menteri Pertahanan selain meningkatkan risiko keselamatan negara terdedah dengan ancaman musuh.

“Selaku pengguna akhir kepada enam kapal tempur pesisir, pandangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) amat penting bagi memastikan tidak ada kompromi terhadap isu keselamatan negara.

“Jika surat dari Panglima Tentera Laut dibakul sampahkan oleh kerajaan Malaysia, maka ia gambaran kerajaan yang tidak mementingkan suara mereka yang telah mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.