Polis Kelantan tahan 301 penagih, rampas dadah lebih RM800,000

Muhammad Zaki (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas melalui Ops Tapis Bersepadu bermula Khamis.
Muhammad Zaki (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas melalui Ops Tapis Bersepadu bermula Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM814,612.25 melalui Ops Tapis Bersepadu bermula Khamis.

Operasi tiga hari bersama Pasukan Zon 1 Bukit Aman turut menahan 301 penagih serta pengedar dadah di beberapa kawasan di negeri ini.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, melalui operasi itu juga, polis melakukan rampasan terbesar selepas menahan dua suspek lelaki warga tempatan berusia 53 dan 34 tahun di sebuah rumah dekat Jalan JKR Pasir Mas kira-kira jam 6 petang, pada Jumaat.

"Kedua-dua suspek didapati positif methamphetamine serta mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

"Pemeriksaan di lokasi menemukan ganja seberat 453.75 gram (gm), 50gm heroin, 40 biji pil psikotropik dan tiga biji pil eramin 5 yang kesemuanya bernilai RM27,780," katanya pada kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Ahad.

Muhammad Zaki memberitahu, polis turut menyita sebuah kenderaan Nissan Grand Livina yang dianggarkan bernilai RM50,000.

"Suspek ditahan direman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga 19 Ogos ini dan kes disiasati mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Tambah beliau, susulan penahanan dua lelaki terbabit membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Kampung Demit, Kubang Kerian.

Menurut beliau, pemeriksaan di dalam rumah tersebut menemukan ganja seberat 3,000gm, 3,050gm heroin, 800 biji pil Eramin 5, 2,000 biji pil yaba dan 24.37gm syabu yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM499,832.

Selain itu katanya, serbuan di Flat Sri Guchil, Kuala Krai kira-kira jam 10.45 malam pada Jumaat menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun.

"Polis merampas 18,000 pil yaba bernilai RM180,000 dan menyita sebuah kereta Honda Jazz dianggarkan bernilai RM20,000 serta wang tunai RM1,000," katanya.

Beliau memberitahu, suspek juga positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

"Lelaki itu direman selama tujuh hari bermula Jumaat hingga 19 Ogos untuk siasatan lanjut," katanya.