Mati dalam lokap: Polis tunggu laporan

Muhammad Zaki (dua dari kiri) menunjukkan cecair ketum ketika sidang akhbar di IPK pada Ahad
Muhammad Zaki (dua dari kiri) menunjukkan cecair ketum ketika sidang akhbar di IPK pada Ahad
A
A
A

KOTA BHARU - Polis sedang menunggu laporan bedah siasat bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan membabitkan kematian seorang lelaki yang ditahan di lokap Balai Polis Bachok.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, sebelum itu lelaki berusia 32 tahun yang bekerja sebagai buruh itu dikatakan selalu menimbulkan masalah kepada orang kena tuduh (OKT) lain ketika berada di dalam lokap.

Bagaimanapun katanya, polis sudah mengambil tindakan mengasingkan lelaki OKT itu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

"Kita akan melihat kamera litar tertutup untuk siasatan lanjut selain menunggu keputusan bedah siasat di Hospital Raja Perempuan Zainab II," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media berkaitan rampasan dadah dan ketum di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) pada Ahad.

Muhammad Zaki memberitahu, lelaki itu meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Bachok selepas sesak nafas dan disahkan meninggal dunia pada jam 11 pagi.

"Pada Jumaat, kira-kira jam 8 malam, OKT dilaporkan bergaduh dengan seorang lelaki di dalam lokap dan dipindahkan ke sel lain seorang diri," katanya.

Lelaki berkenaan ditahan berkaitan kesalahan membabitkan dadah dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.