Tok Mat minta rakyat tidak terpesona dengan tuduhan Rafizi

Mohamad (depan; dua dari kanan) hadir merasmikan pembukaan Konvensyen Wanuta BN di WTC Kuala Lumpur pada Ahad.
Mohamad (depan; dua dari kanan) hadir merasmikan pembukaan Konvensyen Wanuta BN di WTC Kuala Lumpur pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan meminta rakyat tidak terpesona dengan tuduhan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berhubung isu kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, Rafizi yang baharu sahaja memegang jawatan baharunya itu akan berkata apa sahaja untuk memusnahkan BN dan UMNO.

"Maka tugas kita untuk menongkah arus atau membidas segala tuduhan.

"Saya harap rakyat jangan terpengaruh kerana (tuduhan yang dilemparkan) sampai (tahap) kapal hilang, duit lesap," katanya ketika merasmikan pembukaan Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Setiausaha Wanita BN merangkap Pengarah Konvensyen Wanita BN, Datuk Rosni Sohar.

Negara baru-baru ini dikejutkan depan kegagalan projek LCS apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan laporan projek bernilai RM9 bilion tersebut.

Pendedahan mengenai butiran projek pembinaan LCS itu turut dilakukan Rafizi dan beliau berikrar untuk mendedahkan skandal LCS sepanjang bulan ini demi membuka mata rakyat.

Menurut Mohamad, isu LCS sebenarnya berkaitan pengurusan projek pembinaan kapal itu tetapi malangnya ia menjadi bahan untuk memburukkkan BN dan UMNO.

Justeru, pada sidang media selepas majlis perasmian, Mohamad meminta LCS tidak dijadikan sebagai isu politik, kerana ia merupakan isu pengurusan projek itu yang diuruskan syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

"Jadi kalau ada kepincangan pengurusan yang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat di peringkat akhir, biarkan dulu.

"Jangan kita mereka-reka cerita kerana ia tiada kaitan dengan BN dan UMNO. Kalau ada sesiapa yang terlibat, biarlah SPRM mengambil tindakan," tegasnya.

Mohamad menjelaskan, hakikatnya kapal LCS itu wujud tetapi belum siap dan pembinaan badannya dilakukan BNS sementara komponen lain dibekalkan oleh pengeluar daripada negara berlainan.